Thursday, March 22, 2012

Etiqa Serah Zakat Untuk Bantu 15,000 Penduduk Miskin di Terengganu


Shahril Azuar Jimin
Etiqa Takaful Berhad (Etiqa) menyasarkan untuk memperolehi kadar premium tahun ini sehingga RM5 bilion, yang meningkat antara 10 peratus hingga 12 peratus berbanding RM4.7 bilion pada tahun lepas.

Ketua Pegawai Komersil Etiqa Insurance & Takaful Shahril Azuar Jimin berkata sasaran itu mampu dicapai memandangkan Etiqa merupakan satu-satunya jenama teras bagi kesemua perniagaan insurans konvensional dan takaful milik Maybank Fortis.


"Intipati jenama Etiqa ialah menginsankan insurans dan objektif tersebut disokong oleh empat ciri penjenamaan iaitu prestasi dengan keperihatinan, ketelusan yang jelas, bersama berganding bahu dan kukuh bersepadu.

"Bagi Pantai Timur Semenanjung, Etiqa merupakan nama ulung dan ia merupakan pilihan orang tempatan dengan dibantu oleh 3,000 ejennya," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis menyerahan cek sumbangan zakat Etiqa Takaful Berhad kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) yang bernilai RM190,469.17 semalam.

Shahril menyerahkan cek kepada Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Haji Wan Harujan Sulaiman sambil disaksikan Menteri Besar, Datuk Seri Haji Ahmad Said.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah dan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd Rahman.

Zakat perniagaan yang diserahkan Etiqa kepada Maidam itu merupakan antara jumlah agihan di setiap negeri. Berapa kadar agihan bergantung kepada bilangan penduduk miskin di negeri masing-masing.

Menteri Besar berkata pihaknya bersyukur kerana jumlah zakat perniagaan yang diterima Maidam pada setiap tahun semakin meningkat.

“Peningkatan ini membuktikan ekonomi penduduk dan syarikat perniagaan di negara ini khususnya Terengganu bertambah baik,” katanya kepada pemberita selepas majlis itu.

Shahril berkata, berdasarkan pengiraan, jumlah zakat perniagaan yang diagihkan itu boleh disumbangkan kepada kira-kira 15,000 penduduk miskin di seluruh Terengganu.

Katanya, Etiqa di bawah program `Corporate Zakat Responsibility’ (CZR) turut mengagihkan zakat perniagaan kepada Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) sebanyak RM70,000 dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) pula berjumlah RM32,579.93 pada tahun lalu.

“Agihan itu sebagai tanda sokongan kepada dua Institut Pengajian Tinggi itu untuk terus cemerlang dan merealisasikan hasrat kerajaan Terengganu,” katanya.

No comments:

Post a Comment