Thursday, March 22, 2012

Kelainan Upaya Bukan Halangan Untuk Cemerlang SPM

Fatin, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Abdul Malek, Kuala Terengganu memperolehi 7A+, 2A dan 2A
 
Dua pelajar kelainan upaya dari Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu di Dungun melakar sejarah tersendiri apabila mencatat keputusan 10A 1B dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 yang diumumkan semalam.

Muhammad Azizi Mohd Rashdi, 17, dari Kampung Denger, Besut tidak menyangka memperolehi keputusan cemerlang itu kerana hanya mendapat 5A dalam peperiksaan percubaan.



Fatin dan ibunya sama-sama gembira...
Beliau yang mengalami masalah pendengaran sejak lahir mengakui guru dan rakan di sekolah banyak membantunya dalam kelas dengan memberinya peluang untuk duduk di kerusi paling depan dan memberi penerangan untuk sesuatu topik yang kurang difahami.

Anak ketujuh dari sembilan beradik itu berkata masalah pendengaran bukanlah halangan untuk dia berusaha melakukan yang terbaik dalam pelajaran, demi masa depannya.

Bagi Nurul Alwani Mohd Zaib, 17, yang mengalami masalah sakit saraf di bahagian tulang belakang pula, kejayaan itu ternyata berbaloi dengan pengorbanannya menahan kesakitan beberapa bulan sebelum menduduki peperiksaan SPM.

"Dorongan keluarga, guru dan rakan membantu saya terus berusaha melawan kesakitan dan berkat menghafaz Al-Quran, saya dapat menduduki peperiksaan dengan tenang," katanya yang banyak meminta bantuan rakan untuk menyalin nota dalam kelas berikutan penulisannya yang lambat, kesan daripada penyakit yang dihidapi.

Seorang lagi pelajar sekolah itu, Siti Nur Afiqah Mohamad Rasid, 17, pula melakar sejarah apabila memperolehi 11 A+, sekaligus muncul pelajar kedua terbaik seluruh Terengganu.

Menyifatkan akhlak baik terhadap guru dan rakan serta mengamalkan Al-Quran dalam kehidupan hariannya sebagai rahsia kejayaan, beliau sangat berharap dapat menjadi antara 10 pakar jantung di Malaysia suatu hari nanti.

Sementara itu, Fatin Amalia Ibrahim, 17, pelajar SMKA Sheikh Abdul Malik, yang memperolehi keputusan 11 A+, tidak menyangka terpilih sebagai pelajar terbaik SPM negeri itu.

Anak kepada pasangan guru itu berkata fokus semasa guru mengajar, membuat latihan, membuat nota ringkas sendiri dan usaha merupakan resipi kejayaannya pada semalam.

"Saya memang terkejut dengan keputusan yang diperolehi sehingga muncul sebagai pelajar terbaik seluruh negeri. Saya harap dengan keputusan ini saya dapat menyambung pelajaran dalam bidang perubatan di luar negara," katanya ketika ditemui pemberita di Kuala Terengganu.

Rakan sekolahnya, Nur Liyana Abdul Wahab, 17, anak peniaga nasi, berkata kemiskinan dan kesusahan hidup menjadi pendorongnya meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan itu demi mencapai cita-cita menjadi doktor, sekaligus mahu mengubah nasib keluarganya.

Nur Liyana yang memperolehi 10 A+ dan 1 A berkata beliau terharu melihat kepayahan ayah dan ibunya yang bersengkang mata menyiapkan makanan dan menjajanya menggunakan motosikal roda tiga di sekitar kampungnya di Panji Alam, di Kuala Terengganu.

Sementara itu, seorang lagi pelajar cemerlang SPM di negeri itu, Fatin Hamimi Abdullah, 17, memberitahu solat sunat hajat yang yang diamalkan selama 40 hari sebelum menduduki peperiksaan itu resepi beliau mencapai keputusan cemerlang 11 A+ dalam peperiksaan itu.

"Saya sedar saya masih lemah dan perlu memperbaiki pelajaran, selain melipatgandakan usaha, saya melakukan solat hajat agar berjaya dalam peperiksaan ini," katanya ketika ditemui di Sekolah Menengah Kebangsaan (Agama) Nurul Ittifaq, Kuala Besut semalam.

No comments:

Post a Comment