Monday, March 5, 2012

Forkey Doe Terus Jaringkan Gol Untuk Kemenangan Terengganu

FORKEY Doe (kanan) menjaringkan gol tunggal Terengganu ke atas Kuala Lumpur, di Stadium Hang Jebat, malam kelmarin.


Forkey Doe terus menjadi pemain berharga untuk Terengganu selepas berjaya menutup hajat Kuala Lumpur meraih kemenangan sulung Liga Super selepas menang tipis 1-0 ke atas skuad Warga Kota itu di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput malam kelmarin.

Aksi berhati-hati kedua pasukan menyaksikan perlawanan hambar walaupun pelawat lebih banyak menguasai permainan pada awal babak saingan.


Namun anak buah Razip Ismail yang mula mendapat rentak menerusi kehadiran Zakaria Charara dari Lubnan dan Emmanuel Ayala Okine dari Ghana selepas 15 minit permainan memiliki lima percubaan tepat menghasilkan jaringan, bagaimanapun kesemuanya hampa buat tuan rumah.

Peluang terbaik untuk membuka jaringan buat skuad Warga Kota hadir pada minit ke-16 menerusi Mohamad Afiq dan Pritam Singh (27) sedikit tersasar dan berjaya ditampan kemas penjaga gol Terengganu, Sharbinee Allawee Ramli.

Manakala peluang Sang Penyu pula hadir pada minit ke-26 menerusi Francis Forkey Doe bagaimanapun berjaya dipintas pertahanan Kuala Lumpur dengan keseluruhan babak pertama lebih dikuasai skuad juara hatrik Piala Malaysia 1987-1989 itu.

Gol untuk tiga mata berharga Terengganu akhirnya menjelma pada minit ke-60 menerusi rembatan Forkey Doe menewaskan penjaga gol, Mohamad Rozaimi untuk terus membuat Kuala Lumpur menangis tanpa mata.

Kekalahan itu juga meletakkan Kuala Lumpur kekal menghuni tangga terbawah liga dengan hanya mengutip satu mata daripada sembilan perlawanan manakala Mat Zan Mat Aris ceria menyaksikan Terengganu merampas tangga kedua.

No comments:

Post a Comment