Friday, March 2, 2012

Giliran Marco Canola Naik Podium Utama

Canola melintasi garisan penamat pada peringkat ketujuh LTdL 2012 di Kuantan semalam. 

Pelumba pasukan Colnago CSF Inox, Marco Canola berjaya menjuarai peringkat ketujuh kejohanan lumba basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2012 dari Bentong ke Kuantan sejauh 205.8 kilometer semalam.
Pelumba berusia 24 tahun dari Itali itu mencatat masa 4 jam 25 minit dan 17 saat bagi mengatasi Joon Yong Seo daripada pasukan Seoul Cycling di tempat kedua dan pelumba Rusvelo, Serguy Klimov di tempat ketiga.

“Sejak menjadi pelumba profesional, LTdL 2012 ini adalah kejohanan kedua saya selepas Jelajah Calabria.

Malah, ia juga adalah kemenangan pertama beliau dan gembira dengan kejayaan itu.“Saya sebenarnya hanya menunggu untuk melakukan pecutan sahaja.

 Jadi, apa yang saya buat hanyalah mengekori Valentin Iglinsky (pelumba Astana) dan pelumba Garmin Barracuda, Raymond Kreder kerana mereka amat berbahaya.

“Kemudian saya lihat ada pelumba melakukan breakaway pada tiga kilometer terakhir. Saya rasa ia suatu tindakan yang penting, jadi saya terus mengejar mereka dan memintas pada selekoh terakhir.

“Kira-kira 200 meter ke garisan penamat, saya terus melakukan pecutan sehingga ke akhir,” jelas Canola pada sidang media semalam.

Pelumba negara, Suhardi Hassan turut berjaya mencuri tumpuan apabila menamatkan perlumbaan di kelompok 10 pelumba terbaik dengan menduduki tempat kelapan.

Begitupun, keputusan semalam masih belum mampu mengubah kedudukan juara LTdL 2009, Jose Serpa selaku pendahulu keseluruhan, sekali gus mempertahankan Jersi Kuning yang dimenanginya di Genting Highlands kelmarin.

Pelumba pasukan Androni Giocattoli itu mendahului rakan sepasukannya, Jose Rujano dengan kelebihan 30 saat serta Victor Nino Corridor dari pasukan Azad University dengan 56 saat.

Perebutan bagi status Raja Pecut juga menyaksikan satu persaingan sengit apabila Iglinsky berjaya merampas Jersi Biru tersebut daripada pelumba Farnese Vini Selle Italia, Andrea Guardini. Iglinsky yang memenangi tiga zon pecutan di Mentakab, Maran dan Gambang kini mengumpul 60 mata, 13 mata mengatasi Guardini, 47.

Jersi Putih selaku pelumba terbaik Asia pula masih kekal menjadi milik pelumba Kazakhstan, Alexandre Dyachenko dari pasukan Astana, manakala Jersi Merah (Raja Bukit) pula masih kekal bersama Serpa.

Perlumbaan peringkat kelapan hari ini akan berlangsung dari Pekan, Pahang ke Chukai, Terengganu sejauh 100.8km melibatkan tiga zon pecutan (Kuantan - Km 44.8), (Balok - Km 58.9) dan Cherating - Km 81.7 serta satu zon pendakian kategori 4 (Kuantan - Km 47.7).

Kosmo


No comments:

Post a Comment