Friday, March 2, 2012

Penjawat Awam Perlu Responsif Aspirasi Kerajaan

Kerajaan Barisan Nasional sentiasa memberi keutamaan kepada nasib penjawat awam sama ada di peringkat negeri atau pusat dengan merangka taraf hidup yang lebih baik terhadap golongan itu.

Ini termasuk skim gaji baru menerusi skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang kini masih dalam proses semakan semula.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata penjawat awam perlu lebih responsif terhadap aspirasi dan agenda kerajaan dalam memacu pembangunan negara.

Timbalan Perdana Menteri berkata dalam usaha membawa negara ke arah kecemerlangan, penjawat awam perlu lebih banyak terlibat berasaskan program transformasi yang dilaksanakan kerajaan.

"Penjawat awam perlu turut sama terlibat dalam menentukan enam bidang keberhasilan utama iaitu bidang yang dianggap penting dan perlu diberikan perhatian dapat dilaksanakan supaya dapat memenuhi sasaran dalam tempoh yang ditetapkan untuk menjana hasil yang kita kehendaki untuk memartabatkan kehidupan rakyat," katanya.

Beliau berucap pada majlis Perjumpaan Khas Timbalan Perdana Menteri Bersama Penjawat Awam Negeri dan Persekutuan di Stadium Negeri di Kuala Terengganu, sempena lawatan sehari beliau ke Terengganu, semalam. Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said.

"Negara tidak akan maju kalau tidak ada penjawat awam, kerajaan membuat dasar berasaskan aspirasi rakyat namun jika tidak ada penglibatan penjawat awam, dasar akan tinggal dasar," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Muhyiddin meminta penjawat awam dapat bersabar memandangkan kajian semula skim SBPA dalam peringkat akhir dan hasilnya dijangka diumum oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam masa terdekat.

"Saya dimaklumkan banyak kemajuan dicapai mengenai SBPA ini, Perdana Menteri sendiri akan umum mengenainya," katanya.

Dalam sesi dialog dengan penjawat awam, Muhyiddin berkata beliau percaya penjawat awam di negara ini akan terus bersama-sama kerajaan BN yang terbukti mampu memenuhi aspirasi rakyat.

Katanya jika semua 1.3 juta penjawat awam terus setia kepada kerajaan yang ada hari ini, tidak mustahil hasrat kerajaan melonjakkan negara ke kedudukan luar biasa setaraf negara-negara maju lain akan tercapai dalam masa terdekat.

"Ia tidak sama dengan pihak sebelah sana (pembangkang), cuma baru-baru ini mereka keluarkan Buku Jingga sebagai umpan agar mereka diterima pada pilihan raya umum kali ini.

"Namun, berdasarkan kajian pakar ekonomi, jika apa yang terkandung dalam buku itu dilaksanakan, Malaysia akan bankrap dalam tempoh dua tahun," katanya.

No comments:

Post a Comment