Sunday, March 4, 2012

Hanya BN Dapat Jamin Masa Depan Yang Lebih Baik - Najib

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersama barisan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) mengibarkan Jalur Gemilang pada Majlis Kenduri Perdana di Taman Ria Jaya di Sungai Petani, Kedah sempena lawatan sehari beliau ke Baling dan Sungai Petani, semalam.

Hanya Barisan Nasional (BN) sahaja yang dapat memberikan masa depan yang lebih baik kepada rakyat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Kita ada perancangan yang jelas, kita ada agenda yang tersusun rapi, kita ada peta jalan, kita ada fakta dan ada angka.
 

 Perdana  Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersalaman dengan orang ramai bagi menghadiri Program Mesra Rakyat di Padang Awam Kuala Ketil sempena lawatan sehari beliau ke Baling dan Sungai Petani semalam.
 
"Perangkaan yang cukup lengkap untuk memacu perubahan, membawa negara ke arah wawasan menobatkan negara sebagai negara maju berpendapatan tinggi... ini bukan macam Buku Jingga," katanya pada Perjumpaan Bersama Rakyat di Padang Awam, Kuala Ketil, dekat Sungai Petani semalam.

Najib berkata kerajaan mahu memberi isyarat dan gambaran jelas bahawa kerajaan sudah hampir untuk melakukan transfomasi perubahan yang memberi banyak manfaat kepada rakyat. Perdana Menteri berkata BN berjanji akan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan akan membetulkan kesilapan lalu yang mengakibatkannya kalah banyak kerusi dan beberapa negeri termasuk Kedah dalam pilihan raya umum 2008.

Katanya jika pengundi menolak BN seperti di Kedah, sedikit sebanyak adalah kerana BN telah membuat kesilapan.

 "Pada saya kita jangan angkuh dan bongkak. Sebab kita mesti tunduk kepada kuasa rakyat dalam demokrasi berparlimen. Kalau rakyat tolak BN dulu mesti ada kesilapan kita.

"Kita minta maaf atas kesilapan kita dulu. Yang menang minta maaf yang kalah pun minta maaf," katanya dan menambah bahawa BN akan belajar dan bangkit semula daripada kesilapan itu.

"Daripada runtuhan BN di Kedah kita akan bangkit dan bina mahligai yang kukuh dan kuat. Itu azam kita.

"Kita berazam bahawa kita sudah mempelajari daripada kesilapan kita. Kita beri perakuan, akujanji kepada rakyat bahawa akan datang kita akan laksanakan perkhidmatan yang cukup baik kepada rakyat. "Yang dulu jadi sempadan jangan dibangkit-bangkit lagi...kita janjikan perubahan untuk rakyat Malaysia dan Kedah. Perjalanan sudah bermula," katanya.

 Antara yang hadir sama pada majlis itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah.

Di Sungai Petani, BN Kedah berikrar di hadapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menawan semula kerajaan negeri Kedah pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

Pengerusi BN Negeri, Ahmad Bashah berkata BN juga akan memastikan Najib terus menerajui negara dan menawan semula kerusi-kerusi Parlimen yang tewas pada pilihan raya umum 2008.

"Kita yakin akan menawan semula Kedah dan memberi hadiah kepada Datuk Seri Najib serta memastikan beliau terus kekal di Putrajaya untuk memakmurkan negara," katanya ketika berucap pada majlis Makan Malam Perdana anjuran BN di Padang Awam Taman Ria malam semalam.

Majlis makan itu diadakan sempena Program Pemukiman Adun-Adun BN Malaysia di Kedah. Ahmad Bashah berkata, rakyat kini juga telah menunjukkan sokongan mereka terhadap BN menerusi sambutan aktiviti anjuran BN termasuk majlis makan malam itu yang dihadiri oleh lebih 20,000 orang.

Katanya, aktiviti pemukiman yang dianjurkan itu juga telah mendapat sambutan rakyat apabila mereka bergabung tenaga bersama Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam berkempen.

No comments:

Post a Comment