Thursday, March 22, 2012

Hanya Dua Pemohonan Skim Rumah Pertamaku Di Terengganu

Selangor mencatatkan permohonan tertinggi Skim Rumah Pertamaku membabitkan pembiayaan bernilai RM14.4 juta sehingga 31 Jan lepas, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata sebanyak 96 permohonan diterima di negeri itu diikuti Kuala Lumpur (57 permohonan; RM8.5 juta), Johor (32 permohonan, RM4.8 juta), Pulau Pinang (21 permohonan; RM2.9 juta), Perak (20 permohonan; RM2.8 juta).


Melaka (17 permohonan; RM2.4 juta), Sabah (13 permohonan; RM1.9 juta), Kedah (lapan permohonan; RM1.1 juta), Negeri Sembilan (tujuh permohonan; RM916.5 ribu), Pahang (enam permohonan; RM966.9 ribu), Terengganu (dua permohonan; RM 265 ribu) dan Sarawak menerima satu permohonan dengan pembiayaan bernilai RM192 ribu.

"Bagi negeri Perlis, Kelantan serta Wilayah Persekutuan Labuan dan Putrajaya, masih tiada permohonan yang diterima sehingga 31 Jan," katanya.

Beliau menyatakannya dalam jawapan bertulis kepada soalan Lim Lip Eng (DAP-Segambut) pada persidangan Dewan Rakyat di Kuala Lumpur, semalam.

 Lim mahu tahu statistik pembeli rumah di bawah skim itu sejak pelancarannya pada Mac 2011.

Jumlah itu merupakan pecahan kepada 1,623 permohonan bernilai RM238.9 juta yang diterima untuk mendapatkan pembiayaan di bawah skim tersebut. Najib berkata sebahagian besar peminjam terdiri daripada kaum Cina iaitu seramai 152 peminjam atau 55 peratus, diikuti kaum Melayu seramai 93 peminjam (33 peratus) dan kaum India seramai 29 peminjam (10 peratus).

Selain itu katanya, sebanyak 65 permohonan pembiayaan diterima daripada Public Bank Berhad, Alliance Bank Berhad (62 permohonan), Malayan Banking Berhad (36 permohonan) dan Alliance Islamic Bank (35 permohonan).

"Mengikut umur, sebahagian besar penerima jaminan adalah dalam lingkungan umur antara 24 hingga 29 tahun iaitu seramai 187 orang," katanya.

No comments:

Post a Comment