Sunday, March 4, 2012

Hari Akhir LTdL 2012 - Harapkan Tuah Anak Terengganu Muncul Hari Ini

 
Hajat Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dan peminat sukan berbasikal Terengganu untuk menyaksikan anak kelahiran negeri itu menaiki podium pada peringkat kesembilan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2012 semalam tidak kesampaian.

Gabungan sembilan pelumba kelahiran Terengganu pada peringkat kesembilan itu tidak menjadi, malah pelumba harapan Anuar Manan dari Champion System pula terlibat kemalangan pada tiga kilometer terakhir.

Selain Anuar dan Mohd. Harrif Salleh, tujuh lagi pelumba kelahiran Terengganu yang beraksi di LTdL kali ini ialah Mohd. Nur Rizuan Zainal, Amir Mustafa Rusli, Ahmad Fallanie Ali (Malaysia), Mohamad Adiq Hussainie Othman (Champion System), Mohd. Shahrul Mat Amin, Mohd. Saufi Mat Senan dan Mohd. Zamri Salleh.

Mereka gagal menceriakan penyokong sendiri pada perlumbaan sejauh 165.7 kilometer dari Kemasik ke Kuala Terengganu dalam berhujan.

Hanya Zamri yang menduduki tempat kelapan apabila berada di peloton hadapan yang menyaksikan perlumbaan terpecah kepada dua kumpulan menuju ke garisan penamat dengan catatan 3 jam 27 minit 6 saat.

Gandingan mantap pasangan adik beradik, Mohd Zamri dan Mohd Harrif Salleh muncul antara pelumba terbaik tempatan yang berjaya menamatkan perlumbaan dalam kelompok 10 terbaik.

Mohd Zamri yang banyak bertindak di bahagian pelumba domestik dalam pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) menamatkan perlumbaan di tempat kelapan, manakala Mohd Harrif yang lebih terkenal sebagai pakar pecut menamatkan saingan di tempat ke-10.

Peringkat kesembilan dari Kemasik ke Kuala Terengganu sejauh 165.7km yang berlangsung dalam keadaan lembab dan hujan lebat itu menyaksikan ramai pelumba tergelincir dan jatuh pada 3km sebelum sampai ke garisan penamat.

Bagi Mohd Harrif, beliau bersyukur kerana kemalangan yang menimpanya hari ini tidak serius dan membolehkan beliau untuk menamatkan saingan edisi LTdL ke-17 ini, hari ini.

Pada perlumbaan semalam, kesemua pelumba khususnya perebutan jersi biru, masih berpeluang untuk mengutip mata di tiga zon pecutan iaitu di Padang Air dan dua zon pecutan di gerbang penamat di Kuala Terengganu.

Dua pelumba Terengganu Pro Asia (TSG) yang juga adik-beradik, Mohd. Zamri dan Mohd. Harrif Salleh bagaimanapun menamatkan saingan sejauh 165.7 kilometer (km) dari Kemasik ke Kuala Terengganu itu di tempat kelapan dan kesepuluh.

Pada awal perlumbaan, Anuar telah mengatur strategi untuk bergandingan bersama Harrif dalam usaha memastikan seorang pelumba dari Terengganu menjuarai peringkat tersebut di hadapan peminat mereka.

Namun, kemalangan yang menimpa pelumba pasukan Champion System itu bersama pelumba lain di peloton hadapan menyebabkan Harrif mula ketinggalan di belakang, sekali gus menjejaskan strategi mereka.

"Pada perlumbaan tadi saya telah merancang strategi bersama Anuar iaitu kami akan saling bantu-membantu menjadi 'pembawa' sehingga ke kilometer terakhir.

"Namun, ketika tiga kilometer terakhir, dia (Anuar) pula terlibat dengan kemalangan dengan kelompok hadapan, sekali gus menyebabkan saya terpisah dengan peloton hadapan dan terpaksa bekerja seorang untuk mengejar mereka.

"Ini menyebabkan saya kehabisan banyak tenaga kerana jarak peloton hadapan dengan saya sangat jauh dan ketika saya berjaya menghimpit mereka, saya pula sudah kehabisan tenaga untuk ke garisan penamat," jelas Harrif semalam.

Selepas Anuar, 26, tidak mampu meneruskan strategi yang dirancangkan, Harrif kemudian terpaksa bergantung kepada kudrat abangnya, Zamri, 29, namun semua itu dilihat sudah terlambat.

"Memang kecewa sekali kerana gagal menghadiahkan kejayaan kepada peminat di Kuala Terengganu. Saya berasa seperti telah memusnahkan harapan mereka.

 "Namun, saya telah cuba sehabis baik. Kalau Anuar tidak terlibat dalam kemalangan dan mampu membawa saya ke hadapan, saya rasa tidak mustahil salah seorang daripada kami berjaya menaiki podium hari ini (semalam)," jelas Harrif lagi.

Zamri yang banyak membantu adiknya ketika muncul naib juara pada peringkat kelapan dari Pekan ke Chukai kelmarin, turut meluahkan perasaan kecewanya ekoran kemalangan yang melibatkan Anuar itu.

"Strategi Harrif dan Anuar ialah mereka saling menjadi 'pembawa' sambil berharap salah seorang daripada mereka mampu melakukan pecutan untuk menaiki podium, namun insiden kemalangan pula menjejaskan strategi itu.

"Saya rasa kami tidak bernasib baik hari ini (semalam) dan nampaknya pada perlumbaan esok (Dataran Tasik Kenyir ke Kuala Terengganu hari ini) menjadi peluang terakhir bagi kami menebus kegagalan," jelas Zamri.

Sumber - Kosmo & Bernama

No comments:

Post a Comment