Tuesday, March 6, 2012

Kejohanan Antarabangsa di Thailand, Korea Uji Pelumba Negara Selepas LTdL 2012

Selepas menghadapi LTdL, pelumba Malaysia akan mempersiapkan diri untuk menghadapi dua kejohanan di luar negara iaitu Jelajah Thailand pada 27 Mac dan Jelajah Korea pada 22 April depan.

 "Enam pelumba yang ada dalam pasukan semasa LTdL ini, kita akan kekalkan dan kita akan memasukkan tiga lagi pelumba iaitu Akmal Amrun, Nazri Ahmad dan Mohd Khairul Azizi Abdullah," kata pembimbing skuad kebangsaan, Syed Hussaini Syed Mazlan

Katanya Suhardi Hassan (gambar kanan) akan dikekalkan sebagai ketua pasukan berdasarkan kepada pengalaman luas beliau.
Berbekalkan peningkatan prestasi pasukan negara dalam jelajah lumba basikal paling berprestij di Asia, Le Tour de Langkawi (LTdL) 2012 yang berakhir di Kuala Terengganu kelmarinmemberi petanda positif terhadap prestasi pelumba berbasikal lebuh raya negara.

Walaupun kejayaan pasukan negara menjuarai kategori Asia sebelum ini masih belum dapat diulangi, sekurang-kurangnya prestasi buruk pasukan negara dalam beberapa edisi terdahulu telah dapat diperbaiki.

 Turut menceriakan, selain penganjuran yang terus cemerlang, Le Tour de Langkawi (LTdL) 2012 mempamerkan peningkatan pencapaian skuad kebangsaan bimbingan jurulatih tempatan, Syed Mohamad Hussaini Syed Mazlan.


Menduduki tempat ke-16 daripada 22 pasukan yang mengambil bahagian merupakan keputusan yang membanggakan, di tengah-tengah dua pasukan gergasi antarabangsa Garmin Barracudda dan Astana.

Perlumbaan edisi ke-17 yang berakhir kelmarin menyaksikan skuad kebangsaan yang diketuai Suhardi Hassan, Amir Mustafa Rusli, Mohd. Nur Rizuan Zainal, Mohd. Rauf Nur Misbah, Mohd. Fauzan Ahmad Lutfi dn Ahmad Fallanie Ali mempamerkan kayuhan mantap walaupun sedikit tergelincir pada pendakian Genting Highlands.

Latihan dua bulan digunakan oleh pelumba yang rata-ratanya bukanlah kali pertama beraksi di LTdL, bayangkan jika mereka berlatih dalam tempoh yang lebih panjang tidak mustahil hasilnya lebih positif.

Syed Hussaini yang dilantik sebagai jurulatih skuad kebangsaan tahun lepas, mengakhiri edisi perlumbaan kali ini di tempat ke-16 daripada 22 pasukan yang bertanding serta kedudukan keenam terbaik Asia daripada 10 pasukan Asia yang mengambil bahagian.

"Pelumba-pelumba kita dalam LTdL kali ini nampak lebih berkeyakinan dalam berlumba dengan pelumba antarabangsa yang lain. Setiap peringkat perlumbaan mereka menampakkan peningkatan yang ketara.

"Walaupun pada peringkat pertama dan kedua, pelumba kita agak ketinggalan tetapi mereka berjaya memperbaiki kedudukan pasukan secara keseluruhan pada peringkat berikutnya," kata Syed Hussaini.

Pada edisi sebelum ini, pasukan negara sering dikritik berikutan pencapaian buruk jika dibandingkan dengan beberapa pasukan kebangsaan negara jiran.

Untuk edisi ke-17 LTdL kali ini, Syed Hussaini mempertaruhkan kudrat pelumba senior Suhardi Hassan yang digandingkan bersama Mohd Nor Rizuan Zainal untuk meraih kedudukan terbaik.

"Dalam pasukan kebangsaan ini, kita tidak ada pakar pecut dan dari segi latihan kita terapkan kepada pelumba serba boleh.

Kita sandarkan kepada Suhardi dan Mohd Nor Rizuan untuk tugasan itu, manakala Mohd Rauf Nur Misbah, Amir Mustafa Rusli dan Mohd Fauzan Ahmad Lutfi untuk pendakian dan Ahmad Falanie Ali untuk domestik.

"Untuk perlumbaan LTdL ini, saya memang berpuas hati dengan prestasi mereka. Saya juga ingin ucap terima kasih kepada rakyat Malaysia yang banyak memberi sokongan kepada pelumba-pelumba kita. Walaupun kita tidak menang apa-apa tetapi pelumba kita telah melakukan yang terbaik.

Saya nampak mereka boleh pergi lebih jauh selepas ini," katanya. Mohd Fauzan, 25, yang kembali beraksi di pentas acara berbasikal lebuh raya selepas menamatkan penggantungan selama dua tahun akibat penggunaan bahan perangsang terlarang, adalah pelumba terbaik skuad kebangsaan apabila menamatkan saingan di tempat ke-36 keseluruhan.

Mohd Fauzan ketinggalan 14 minit dan 14 saat di belakang pemenang jersi kuning atau juara keseluruhan iaitu pelumba Colombia, Jose Serpa yang mewakili pasukan Androni Giocattoli.

Bagaimanapun, seorang lagi pelumba kebangsaan Adiq Husainie Othman (gambar kanan) yang mewakili pasukan Champion System, muncul sebagai pelumba terbaik Malaysia keseluruhan selepas berada di kedudukan ke-19. Perlumbaan 10 peringkat yang bermula dengan acara ujian masa individu di Putrajaya pada 24 Feb lepas melibatkan jarak kayuhan sejauh 1,415.5km.

No comments:

Post a Comment