Tuesday, March 6, 2012

Kehebatan Zairo Terserlah, Jadi Nadi Penting T-Team

Tuah ayam nampak di kaki, tuah Zairo Anuar Zailani nampak di lengan.

Sejak memakai lilitan kapten bermula awal musim ini, pemain tengah T-Team itu semakin menjadi-jadi kehebatannya.

Bukan saja pemain berusia 30 tahun itu menjadi nadi pasukan disertainya musim lalu, malah turut menyumbang jaringan meletakkan T-Team di kelompok pasukan terbaik Liga Super setakat ini.

Selepas sembilan perlawanan, bekas pemain Terengganu itu menjaringkan sembilan gol termasuk satu gol ketika menang 2-0 ke atas Johor pada saingan pertama Piala FA baru-baru ini.


Walaupun gagal mencatatkan nama sebagai penjaring dalam perlawanan liga menentang Sarawak di Kuala Terengganu, Jumaat lalu, Zairo tetap memberi sumbangan dengan melorongkan bola kepada Faiz Subri yang merembat dari luar kawasan penalti untuk memberi kemenangan 1-0 kepada tuan rumah.

Sebagai penjaring terbanyak liga setakat ini, dia sentiasa mencari peluang untuk menambah jaringan namun buat pemain kelahiran Dungun itu, kemenangan pasukan lebih penting daripada koleksi jaringan peribadi.

 “Saya rela tidak menjaringkan sebarang gol asalkan T-Team menang setiap kali kami turun ke padang kerana sudah tiba masanya untuk pasukan kami memenangi satu atau dua piala selepas bersaing dalam Liga Super sejak tiga tahun lalu.

 “Kami bermula cemerlang musim ini dan berada di persada liga selama beberapa minggu namun kami hilang tumpuan buat sementara waktu dan tewas tiga perlawanan berturut-turut di tangan Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan,” katanya.

Namun, T-Team bangkit semula dengan kemenangan ke atas Perak, Felda United dan Sarawak di samping mara ke pusingan kedua Piala FA selepas menundukkan Johor di gelanggang lawan.

“Kini kami menunggu kedatangan Pahang untuk menentukan siapa yang bakal layak ke suku akhir saingan Piala FA dan kami akan buktikan yang T-Team bukan lagi pasukan sama yang terkeluar di saingan pusingan awal musim lalu,” katanya.

No comments:

Post a Comment