Saturday, March 10, 2012

Lombong Bijih Besi - Terengganu Terima 5 Permohonan

"Kita belum tahu lagi berapa anggaran pelaburan yang akan dibuat nanti kerana ia berdasarkan kapasiti pengeluaran syarikat. Namun saya rasakan pembukaan kilang kini perlukan 1 bilion sekurang-kurangnya..." - Ahmad Said

Kerajaan Terengganu menerima lima permohonan syarikat luar yang berminat untuk menjalin kerjasama dalam industri melombong bijih besi di Bukit Besi menerusi pelaburan dalam Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, permohonan daripada tiga syarikat dari negara China dan masing-masing satu dari India dan Abu Dhabi, itu dijangka mampu memberi pendapatan besar kepada ekonomi negara selain mewujudkan banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.


"Syarikat tersebut masing-masing telah menghantar permohonan kepada kerajaan negeri dan mengemukakan kajian daya maju kawasan itu.

“Mereka telah buat kajian terperinci, berbincang dan sebagainya. Tengoklah, kita tunggu siapa yang akan buka kilang yang lebih besar dan boleh memberi manfaat pembukaan tersebut kepada negeri, barulah kita akan berikan,” katanya di Kemaman semalam.

Ahmad Said bagaimanapun berkata, hanya satu syarikat sahaja diperlukan untuk mengusahakan kawasan perlombongan seluas 320 hektar itu.

"Kita belum tahu lagi berapa anggaran pelaburan yang akan dibuat nanti kerana ia berdasarkan kapasiti pengeluaran syarikat. Namun saya rasakan pembukaan kilang kini perlukan 1 bilion sekurang-kurangnya,” katanya.

Kerajaan negeri menetapkan dasar bahawa pelabur luar yang mahu memajukan lombong bijih besi itu perlu membuat pelaburan dengan membuka kilang di Terengganu.

No comments:

Post a Comment