Thursday, March 1, 2012

LPP Terengganu Jual Daging Kambing Mulai April

Lembaga Pertubuhan Peladang Negeri Terengganu (LPP) akan memperluaskan pasaran menjual daging kambing segar di Jalan Sultan Mohamad di Kuala Terengganu bermula April ini.

Pengarah LPP negeri Shamsuddin Mat Rani berkata sebuah kiosk akan dibuka di hadapan pejabat LPP untuk menjual daging kambing segar setiap pagi Khamis dengan kadar harga antara RM25 dan RM30 sekilogram bergantung pada harga pasaran.

 "Buat permulaan kita akan sembelih antara dua hingga tiga ekor kambing Boer dan Jamnapari untuk dijual kepada orang ramai," katanya di Kuala Terengganu, hari ini.

Shamsuddin berkata LPP membuat percubaan pemasaran pada Ramadan lepas dan mendapati sambutannya amat menggalakkan. Beliau berkata LPP mempunyai sebuah ladang kambing di Kampung Pelam, Telemong, Hulu Terengganu bagi menampung keperluan daging haiwan itu di negeri ini.
"Kita sekarang menternak lebih kurang 1,000 ekor kambing baka Boer, Jamnapari dan kambing Boer kacukan sejak ladang itu diwujudkan tiga tahun lepas," katanya.

Shamsuddin berkata nilai semasa kambing-kambing di ladang itu dianggarkan melebihi RM500,000 dengan projek ternakan kambing di ladang Kampung Pelam itu hanya bermula dengan 250 ekor induk yang dibeli daripada pembekal-pembekal tempatan.

LPP kini sedang melatih bakal-bakal usahawan ternakan kambing di kalangan belia dan juga graduan-graduan universiti yang berminat dalam lapangan itu.

Shamsuddin berkata LPP akan membekalkan induk kambing kepada pemohon yang berhasrat menjadi penternak sebanyak 50 ekor iaitu 25 ekor secara percuma dan 25 ekor lagi mesti dibeli penternak.

1 comment: