Sunday, March 18, 2012

Mangsa Simbahan Asid Enggan Maafkan Individu Tidak Bertanggungjawab


 Zaleha menyapu ubat pada luka di tangan Mohd. Fazil di rumah mereka di Kampung Baru Merchang, semalam

Mangsa simbahan asid, Mohd Fazil Hanafi Idrus enggan memaafkan perbuatan penjenayah tidak bertanggungjawab yang menjadikannya sebagai sasaran hingga menjejaskan masa depannya.

"Saya tidak akan maafkan perbuatan individu itu yang telah menjejaskan masa depan.
"Saya geram dengan individu yang melakukan perbuatan ini kerana saya tidak tahu-menahu motif dia hingga saya terpaksa menerima kesan menjadi sebegini rupa," itulah luahan mangsa berusia 18 tahun itu.

Beliau yang kini menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mendakwa dia tidak mempunyai musuh mahupun bergaduh sehinggakan kesan lecur yang dialaminya memakan masa yang panjang untuk sembuh walaupun tidak akan pulih seperti asal.

Mohd Fazil yang ditemui di rumahnya di Kampung Baru Pulau Rusa, di Marang berkata dia dibenarkan keluar dari wad selepas doktor Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu mendapati kesan lecur di muka, lengan, badan serta kakinya sudah semakin beransur pulih.

"Saya dibenarkan pulang ke rumah minggu lepas dan kesan lecur serta sakit juga semakin sembuh dan makin berkurangan," katanya.

Bagaimanapun, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Serating ini menjelaskan beliau perlu mengambil ubat susulan secara berjadual bagi mengelak kesan lecuran mengalami kesan komplikasi lain.

Dalam kejadian 19 Feb lepas, dua sahabat melecur disimbah cecair, dipercayai asid, dalam satu insiden awal pagi di Kampung Padang Merchang di sini. Kejadian kira-kira 5.10 pagi itu berlaku ketika Mohd Fadzil dan rakannya, Shahurzaman Salim, 38, sedang nyenyak tidur bersama empat lagi rakan mereka di sebuah rumah bujang selepas menonton perlawanan bola sepak di televisyen.

Akibat simbahan itu, Mohd Fadzil melecur di bahagian muka, badan serta kaki manakala Shahurzaman yang bekerja sebagai nelayan, cedera di muka serta mata.

Sementara itu, ibunya Zaleha Ishak, 48, berkata anaknya sepatutnya dirawat selama dua bulan di HSNZ namun dapat pulang awal selepas permohonan anaknya untuk keluar lebih awal diterima pihak hospital dan masih perlu menjalani rawatan susulan dua kali seminggu.

Mohd. Fazil kini terpaksa menempuh hidup baharu yang jauh berbeza daripada orang lain apabila dia terpaksa mengelak sinaran cahaya matahari selama dua tahun jika mahu cepat pulih.

Dalam tempoh dua tahun akan datang ini, dia terpaksa memakai pakaian tebal dan menutupi kepalanya untuk melindungi kulit daripada bahang matahari.

Mohd. Fazil berkata, doktor yang merawatnya menetapkan pantang larang itu memandangkan kulitnya yang telah rosak kini amat sensitif dan memerlukan penjagaan yang teliti.

"Saya tidak tahu bagaimana harus saya lalui tempoh dua tahun ini dan saya sangat berharap luka dan kesan parut ini dapat segera sembuh," katanya ketika ditemui.

Bernama & Kosmo!

No comments:

Post a Comment