Thursday, March 15, 2012

MAS Tawar Pakej Tambang, Percutian Istimewa di Matta Travel Fair

Malaysia Airlines System Bhd (MAS) menawarkan tambang penerbangan domestik dan antarabangsa, pakej MASholidays dan produk berkaitan pelancongan yang menarik pada MATTA Travel Fair dan 16 hingga 18 Mac, 2012.

Dalam satu kenyataan semalam, MAS berkata tambang termasuk semua pada harga diskaun bagi kelas ekonomi dan perniagaan itu boleh didapati melalui ejen-ejen dilantik yang mengambil bahagian dalam pameran itu, manakala MASholidays akan menawarkan tambang promosi pakej percutian domestik dan antarabangsa.


"Penumpang kelas perniagaan boleh menikmati tambang pergi balik termasuk semua dari RM1,899 ke Phnom Penh, Manila dan Hanoi; RM3,699 ke Beijing dan Hong Kong; RM4,899 ke Seoul dan Male; dan RM10,015 ke Los Angeles.

"Tambang yang serupa ke London bermula dari RM20,999 dan penumpang akan menikmati keselesaan perjalanan dengan pesawat Airbus A380-800 pada hari-hari terpilih mulai Julai 2012," katanya.

MAS berkata unit perjalanan dan pelancongannya, MASholidays, akan menawarkan pakej percutian termampu ke banyak destinasi dalam rangkaian MAS yang luas.

"Pakej-pakej ini termasuk tambang pergi balik kelas ekonomi, pertukaran di lapangan terbang (di destinasi-destinasi terpilih), penginapan di hotel paling minimum tiga bintang dan sarapan," katanya.

Ia berkata program kesetiaan dan penumpang kerap, Enrich, akan juga menawarkan promosi khas dalam tempoh ini. "Setiap pelanggan yang mendaftar sebagai ahli Enrich akan diberikan ganjaran 1,000 Enrich Miles," katanya.

MAS berkata unitnya, Firefly, akan juga membuat tawaran hebat ke destinasi-destinasi seperti Koh Samui, Langkawi, Terengganu, Kota Bahru, Pulau Pinang, Kota Kinabalu dan Kuching.

Naib Presidennya bagi rantau Malaysia & Asean, Muzammil Mohamad, berkata syarikat itu gembira menjadi sebahagian daripada pameran pelancongan terbesar di Malaysia.

 "Kami ada tawaran yang baik bagi destinasi-destinasi domestik dan serantau semasa karnival tiga hari itu. "Bagi mereka yang terlepas tawaran-tawaran sebelum ini, ini adalah satu lagi peluang untuk merancang percutian mereka yang akan datang, terutamanya sempena cuti sekolah pertengahan tahun," katanya.

 MAS berkata mereka yang berminat dan tidak dapat datang ke PWTC untuk merebut tawaran-tawaran ini boleh mendapatkannya melalui laman sesawangnya di alamat www.malaysiaairlines.com, pusat panggilan di talian 1-300-88-3000 dan pejabat-pejabat jualan tiket di seluruh negara. Tempoh tawaran ini dilanjutkan hingga 20 Mac, 2012.

No comments:

Post a Comment