Thursday, March 29, 2012

Olimpik 2012 - Hariff & Adiq Hussainie Belum Boleh Tarik Nafas Lega


Nama lima pelumba untuk bersaing mengisi dua slot acara lepas beramai-ramai lelaki elit di Sukan Olimpik 2012 di London Julai ini sudah diserahkan kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk proses penyediaan kad akreditasi di temasya berkenaan.

Sekalipun nama dua pelumba kelab benua dari Champion System dan Terengganu Cycling Team (TSG) iaitu Mohd Adiq Hussainie Othman dan Mohd Harrif Salleh disebut-sebut sebagai calon pilihan hangat ke kota London, namun Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (MNCF) memilih jalan selamat dengan menyenarai nama lima pelumba.


Tiga lagi pelumba juga dari kelab benua iaitu Mohd Zamri Salleh (TSG), Anuar Manan (Champion System) dan Amir Mustafa Rusli (Drapac Professional Cycling Team) turut diserahkan MNCF kepada MOM pada 22 Mac lalu. Presiden MNCF, Abu Samah Abd Wahab, berkata pemilihan akhir dua nama ke Sukan Olimpik 2012 akan dilakukan pada hujung Mei nanti tertakluk kepada prestasi dan situasi kesihatan terkini semua lima pelumba.

“Setakat ini, ramai yang beranggapan Mohd Adiq Hussainie dan Mohd Harrif adalah calon terbaik untuk dihantar ke Sukan Olimpik. Namun perjalanan ke sana masih panjang.

"Kita akan pantau prestasi mereka di Tour of Thailand, Tour of Korea dan Kejohanan Trek Sedunia (di Melbourne, Australia).

“Kita serahkan nama lima pelumba kepada MOM bagi memudahkan mereka terus ke London seandainya terpilih kerana kad akreditasi sebagai pelumba sudah pun diserahkan kepada MOM.

Jadi kita boleh pilih mana-mana pelumba daripada lima nama berkenaan.

“Saya percaya keputusan akhir akan ditentukan oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Pemilihan setelah mengadakan perbincangan panjang bersama MSN (Majlis Sukan Negara) dan John Beasley (Ketua Jurulatih Negara),” katanya.

Sebelum ini, MNCF dilapor menyenaraikan nama enam pelumba termasuk Mohd Akmal Amrun namun senarai tersebut telah dipendekkan hanya kepada lima pelumba.

 Pasukan lebuh raya Malaysia layak ke Sukan Olimpik 2012 secara merit selaku wakil benua selain Jepun, Iran dan Uzbekistan.

Kosmo!

No comments:

Post a Comment