Thursday, March 29, 2012

Terengganu Kembali Tumpu Saingan Liga Super

Terengganu kini berada pada landasan terbaik dalam misi mempertahankan kejuaraan Piala FA selepas berjaya melepasi halangan Lions XII pada aksi suku akhir kedua di Stadium Jalan Besar, Singapura malam kelmarin.

Biarpun begitu, Terengganu tetap menghormati Sime Darby.


Penggendali Skuad Penyu, Mat Zan Mat Aris bagaimanapun berkata buat masa ini, kami mahu fikirkan dulu saingan Liga Super dan Piala AFC sebelum memberi tumpuan untuk aksi separuh akhir bulan depan.

Mengenai kejayaan itu, Mat Zan memberi pujian menggunung kepada kesemua pemainnya di atas semangat tinggi yang dipamerkan mereka sepanjang perlawanan.

Katanya, dengan jumlah pemain yang terhad ekoran krisis kecederaan yang menimpa skuad Penyu, skuad kendaliannya masih mampu memberikan tentangan kepada Lions XII.

Menampilkan corak permainan tersusun dengan keutamaan di posisi pertahanan, anak-anak buah Mat Zan Mat Aris jelas bersemangat melalui tempoh 90 minit permainan bagi mengikat tuan rumah dengan keputusan seri tanpa jaringan.

Keputusan itu memberi kelebihan kepada Terengganu untuk melangkah ke separuh akhir menerusi agregat 1-0, sekali gus bakal membuat perhitungan dengan kelab kerdil, Sime Darby bagi penentuan ke final.

"Kami kehilangan sekurang-kurangnya enam pemain utama pada perlawanan itu dan beberapa pemain yang diturunkan seperti Francis Forkey Doe (gambar kiri) pula belum cergas sepenuhnya.


"Bagaimanapun, kami berjaya melalui perlawanan ini dengan baik. Berjaya menyekat Lions XII daripada membolosi gawang kami.

 "Ia adalah kejayaan yang cukup besar kerana semua tahu Lions XII merupakan antara pasukan terbaik dalam Liga Malaysia (Liga-M) musim ini," jelasnya.

Pada perlawanan kelmarin, Terengganu yang menewaskan Kelantan pada final Piala FA musim lalu, turun di Stadium Jalan Besar dengan bekalan satu gol hasil jaringan Joseph Kalang Tie di Kuala Terengganu Sabtu lalu.

Bagaimanapun, beberapa pemain utama skuad Penyu itu termasuk Joseph, Marzuki Yusof, Abdul Manaf Mamat dan Reshafiq Alwi tidak dapat disenaraikan akibat kecederaan.

"Saya sentiasa percaya kepada kemampuan pemain saya dan tidak kira mereka berada di bangku simpanan ataupun kesebelasan utama, mereka adalah yang terbaik.

"Justeru, saya hanya mengharapkan mereka dapat kekalkan rentak ini untuk memastikan kemaraan kami ke final dan seterusnya mempertahankan piala ini," ujarnya.

Kosmo!

No comments:

Post a Comment