Friday, March 30, 2012

Pandang Serius Jenayah Pemerdagangan, Seludup Orang


Masyarakat setempat di negeri ini di minta prihatin dan memandang serius mengenai jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan migran supaya tidak terus berleluasa.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, berkata kes seumpama itu tidak wajar dipandang remeh kerana ia boleh membabitkan nyawa dan maruah jika seseorang itu mengambil sikap sambil lewa.


“Keadaan geografi dan negara Malaysia yang aman damai, mendorong ramai warga asing lebih berminat menyeludup masuk atau keluar secara haram walaupun pelbagai akta mengenai itu dikuatkuasakan,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Kempen Antipemerdagangan Orang & Penyeludupan Migran peringkat Terengganu di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, semalam.

Hadir sama, Timbalan Menteri Sumber Manusia yang juga Naib Presiden Majlis Kebangsaan Pertubuhan-pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) Zon Timur, Datuk Maznah Mazlan dan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Wahad Mohd Yasin.

Kira-kira 2,000 peserta daripada pelbagai agensi kerajaan, swasta dan Badan Bukan Kerajaan hadir pada majlis anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama NCWO dan Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran.

Katanya, keprihatinan dan kerjasama setempat memudahkan pihak berkuasa menyelesaikan kes-kes jenayah, termasuk di luar sempadan dengan maklumat yang diberikan.

“Sebagai masyarakat, kita perlu timbul rasa tanggungjawab untuk mempertahankan nilai-nilai kemanusiaan dan harga diri,” katanya.

No comments:

Post a Comment