Pengundi di Dun Wakaf Mempelam perlu membuat keputusan bijak dengan melakukan perubahan pada pilihan raya umum akan datang bagi melihat perbezaan berlaku setelah kerajaan dapat merampas kerusi tersebut daripada pembangkang.
Pegawai Pembangunan Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata, perkara itu harus difikirkan sebaik mungkin memandangkan masih tiada apa dapat dilihat dalam Dun Wakaf Mempelam biarpun kawasan berkenaan berada di tangan pembangkang sejak 33 tahun lalu.
“Sudah tiba masanya rakyat di Dun Wakaf Mempelam melakukan perubahan dengan memberi peluang sekali kepada kerajaan. Saya yakin dan percaya pasti ada perbezaan yang begitu ketara dapat dilihat nanti termasuklah dari aspek kemudahan dan pembangunan.
“Jika selepas kita menang, pengundi dapati masih tidak ada sebarang perubahan dibuat, lima tahun lagi bolehlah pilih pihak lain pula,” katanya.
Kata Wan Ahmad Farid, walaupun Dun itu di bawah pembangkang namun sebarang bantuan yang diperuntukkan Kerajaan Pusat tetap dinikmati penduduk seperti juga mereka yang tinggal di kawasan Dun yang dimenangi Barisan Nasional (BN).
Beliau berkata demikian sewaktu Program Bersama Penerima Bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat di Balai Raya Kampung Losong Wakaf Nyor Kembar, di Losong, semalam melibatkan 82 penerima dari kampung berkenaan serta Kampung Losong Haji Mat Shafie.
Turut hadir Pegawai Pembangunan Dun Wakaf Mempelam, Wan Mahyuddin Wan Ngah.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau menambah jumlah keseluruhan bantuan disalurkan Kerajaan Pusat dan negeri kepada penerima di kawasan Losong lebih RM70,000 setiap bulan sekali gus membuktikan kerajaan sentiasa cakna serta melaksanakan tanggungjawab menjaga rakyat.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment