Seorang pembantu kedai emas dijatuhkan hukuman penjara satu hari dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu semalam terhadap tuduhan merosakkan harta benda rumah bapa mertuanya.
Tertuduh, Afzainiezam Hassan, 28, didakwa melakukan kesalahan itu di rumah Tran Tan Nhut dengan sengaja melanggar pintu pagar rumah mertuanya itu dengan kereta sehingga tercabut angkara perselisihan faham pada pukul 7.30 pagi, 25 Februari lalu.
Tertuduh mengaku bersalah melakukan perbuatan tersebut semasa pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.
Afzainiezam yang beralamat di Kuaters Pejabat Haiwan daerah Marang dikatakan sedang dalam proses perceraian dengan isterinya, didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga dua tahun dan denda.
Pendakwaan dijalankan oleh pegawai pendakwa Inspektor Miky Dunstan Musa manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mengikut fakta kes, Tran membuat laporan polis bahawa tertuduh pernah melakukan perkara sama sebanyak tiga kali.
No comments:
Post a Comment