Barisan Nasional (BN) yakin mampu menawan lima kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) yang dikuasai parti pembangkang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan datang.
Menteri Besar, merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu, Datuk Seri Haji Ahmad Said berkata, berdasarkan analisis yang dibuat, lima Dun iaitu Ladang, Batu Buruk, Bukit Payong, Bukit Tunggal dan Manir mempunyai harapan untuk dirampas kembali,” katanya.
“Dalam PRU-12, parti pembangkang hanya menang tipis pada kelima-lima Dun ini dan kita yakin mampu ambil balik dengan dibantu jentera Wanita,” katanya di majlis Mesra Menteri Besar bersama Jalinan Rakyat (JR) Wanita Umno Bahagian Setiu di Sekolah Menengah Tengku Ibrahim, petang kelmarin.
Isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud turut serta dalam program berkenaan. Hadir sama, Ahli Parlimen merangkap Ketua Umno Bahagian Setiu, Datuk Mohd Jidin Shafee; Timbalan Ketua Umno merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Langkap, Ashaari Idris; Adun Permaisuri, Abd.Halim Jusoh; Adun Jabi, YB Haji Ramlan Ali.
Turut serta, Ketua Pergerakan Wanita Umno Perhubungan Terengganu, Datuk Fatimah Hamat dan Ketua Pergerakan Wanita Umno Bahagian Setiu, Wan Maznah Wan Nong serta lebih 4,000 jentera JR dari empat Dun iaitu Batu Rakit, Langkap, Permaisuri dan Jabi.
Katanya, BN menaruh harapan kepada jentera wanita membantu parti menang dalam pilihan raya nanti dan keyakinan ini berdasar gerak kerja yang dilakukan tanpa jemu sejak dulu.
“ Jentera wanita sejak dulu memang tidak pernah menghampakan parti, sedia dikerah dalam apa juga situasi dan keadaan, “ katanya.
Menurutnya, sejak kebelakangan ini ramai pengundi di kawasan yang dikuasai pembangkang sudah mula sedar bahawa pemimpin pembangkang tidak mampu membantu mereka dalam segala segi.
Ahmad Said kemudian mengingatkan semua jentera terus mengerah tenaga untuk memenangkan parti serta jangan jadikan calon sebagai isu malah terimalah sesiapa saja yang dipilih pucuk pimpinan tertinggi parti kerana yang penting BN perlu menjadi pentadbir negeri dan negara.
Menteri Besar kemudiannya telah menyampaikan Anugerah Sekalung Budi kepada empat tokoh wanita berjasa iaitu Hajah Kalsom Saamah (Permaisuri), Hajah Hasnah Ismail (Langkap), Hajah Wan Aminah Wan Deraman (Batu Rakit) dan Puan Wan Zainab Wan Yaakub (Jabi)
No comments:
Post a Comment