Terengganu memulakan kempen Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2012 dengan memberangsangkan apabila menjinakkan kelab Vietnam, Song Lam Nghe An 1-0 di tempat lawan semalam.
Terengganu mengutip tiga mata penuh apabila menang pada saingaan pembukaan kumpulan F Piala AFC di Stadium Vinh, Vietnam petang semalam.
Skuad Mat Zan Mat Aris mempamerkan permainan baik pada penampilan sulung saingan kelab bola sepak Asia dengan memastikan tiga mata penuh menerusi jaringan Abdul Manaf Mamat.
Manaf bergandingan dengan bintang Liberia, Francis Forkey Doe pada bahagian serangan, bijak menyambar hantaran Ashaari Shamsudin.
Terengganu terpaksa menunggu sehingga babak kedua untuk menjaringkan gol menerusi Abdul Manaf Mamat pada minit ke-51.
Dia memperdayakan pertahanan lawan dan melepaskan rembatan kencang melepasi jangkauan penjaga gol Song Lam.
Jaringan itu meningkatkan moral pemain-pemain skuad Penyu apabila jentera pertahanan yang diketuai Muslim Ahmad berjaya mengekang setiap percubaan pemain lawan.
Dua lagi pasukan dalam kumpulan tersebut iaitu Kitchee FC dari Hong Kong dan Tampines Rovers dari Singapura akan bertemu malam ini.
Bagi perlawanan kedua, skuad kendalian Mat Zan Mat Aris itu akan melayan kunjungan Kitchee FC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di Kuala Terengganu pada 20 Mac ini.
No comments:
Post a Comment