Wednesday, March 21, 2012

Piala AFC - Penyu Tersungkur Di Padang Sendiri

Pemain Terengganu, Shukor Jusoh (tengah) diasak pemain Kitchee FC pada aksi Piala AFC 2012 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu semalam.
Terengganu gagal menggunakan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri apabila tewas 0-2 kepada kelab Hong Kong, Kitchee FC pada aksi Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) semalam.

Turun dalam misi memburu kemenangan kedua dalam kempen Kumpulan F, anak-anak buah Mat Zan Mat Aris itu jelas gagal memberi tekanan kepada pasukan lawan apabila mudah dibolosi dua gol masing-masing pada babak pertama dan kedua permainan.

 Pada aksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu itu, bintang import Kitchee dari Sepanyol, Jorge Tarres terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-44.
 
Gol pertama pelawat itu hadir menerusi satu hantaran lintang oleh Lam Ka Wai dari luar kotak penalti sebelum dirembat masuk Tarres untuk memperdayakan penjaga gol skuad Penyu, Shamirza Yusoff.

Terdahulu, Mazlizam Muhammad hampir meletakkan tuan rumah di hadapan pada minit ke-28, namun percubaan pemain pertahanan itu di hadapan pintu gol berjaya ditepis keluar penjaga gol pelawat, Wang Zhenpeng.

Bersambung babak kedua, skuad Penyu yang mendapat sokongan padu hampir 10,000 penyokong tempatan terus melancarkan serangan menerusi gerakan trio sensasi, Francis Forkey Doe, Abdul Manaf Mamat dan Ashaari Shamsudin.

Sebaliknya, Kitchee, juara Liga Divisyen Satu Hong Kong terus menambah derita Terengganu menerusi jaringan kedua oleh kapten pasukan, Chu Siu Kei pada minit ke-74.

 Mengulas mengenai perlawanan itu, Mat Zan mengakui beberapa kesilapan mudah yang dilakukan pemainnya terutama di bahagian pertahanan telah membuka ruang buat pemain lawan menjaringkan gol.

“Secara keseluruhan, kami berjaya menguasai permainan dan mencipta peluang untuk menjaringkan gol, tetapi disia-siakan oleh pemain.

“Malah, kekentalan benteng pertahan lawan yang memiliki kelebihan fizikal sedikit menyukarkan pemain saya untuk memasuki kawasan kotak penalti,” katanya pada sidang akhbar selepas tamat perlawanan.

Sementara itu, jurulatih Kitchee, Josep Gombau menganggap gol pertama yang dijaringkan Tarres pada lewat babak pertama menjadi detik kepada kejayaan pasukannya mengutip tiga mata penuh.

“Sejak dari awal lagi saya telah katakan bahawa Terengganu merupakan pasukan yang baik dan mereka jelas menguasai permainan. Namun, kami bijak menggunakan dua peluang untuk mencipta jaringan,” jelasnya.

Kosmo!

No comments:

Post a Comment