Tuesday, March 27, 2012

Piala FA - T-Team Hampiri Separuh Akhir, Yakin Benam Kedah

Kedah bimbang pada ketika T-Team yakin melangkah ke separuh akhir Piala FA pada perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, hari ini.

Tanpa tonggak utama dan prestasi hambar pemain import, Kedah kini tertekan dalam usaha melayakkan diri ke peringkat separuh akhir Piala FA.


T-Team yang bermain di gelanggang sendiri dan disokong ribuan penyokong pasukan itu, pasukan kelab itu dijangka dapat mencipta kemenangan dan sekaligus layak ke peringkat separuh akhir.

 Jurulatih T-Team Yunus Alif berkata beliau yakin apabila dua pemain tonggak pasukan itu iaitu penjaga gol Mohamad Shamsuri Mustafa dan pertahanan Shahril Faizal Saifuddin yang pulih dari kecederaan diharap dapat membantu mematahkan serangan Kedah.

Dalam saingan suku akhir pertama malam kelmarin, Kedah gagal mencipta sebarang gol apabila sekadar terikat 0-0 kepada T-Team menyebabkan laluan sukar bagi Kedah untuk mencipta kemenangan di gelanggang lawan.

Penyerang Kedah, Mohd Khyril Muhymeen Zambri digantung satu perlawanan selepas menerima dua kad kuning pada perlawanan suku akhir malam kelmarin.

Keadaan itu ditambah dengan prestasi kurang memuaskan pemain import pasukan itu Hamidan Mohamed dari Ghana menyebabkan jentera serangan Kedah tempang dan tertekan.

Ketua Jurulatih Kedah Wan Jamak Wan Hassan berkata beliau akan melihat semula keseluruhan pemain pada sesi latihan yang diadakan dalam tempoh dua hari dan membuat keputusan sama ada Hamidan dapat diturunkan sebagai kesebelasan utama ataupun tidak.


 "Saya telah beri peluang kepada Hamidan untuk memperbaiki corak permainannya tetapi malangnya kepercayaan yang diberikan oleh saya dan peminat kepadanya hanya sia-sia kerana dia tidak membalasnya dengan mempamerkan aksi bertenaganya.

 "Hamidan sepatutnya menunjukkan kredibilitinya sebagai pemain import yang mampu membantu pasukan mencipta gol kemenangan," kata Wan Jamak ketika ditemui selepas perlawanan malam kelmarin.

Wan Jamak berkata beliau tetap berpuas hati dengan permainan yang ditunjukkan anak buahnya malam kelmarin, namun keputusan tidak memihak kepada pasukan tersebut apabila sekadar terikat 0-0 kepada T-Team dan perlu bekerja keras untuk menentang pasukan T-Team, hari ini.
 
"Kami ada 90 minit lagi untuk bertandang ke Terengganu dan saya minta pemain berusaha dengan lebih gigih lagi bagi memastikan mereka dapat melangkah ke peringkat seterusnya," katanya.

 Apakah T-Team akan mencipta sejarahnya sendiri apabila layak ke separuh akhir Piala FA untuk kali pertama tahun ini?

No comments:

Post a Comment