Tuesday, March 27, 2012

UPSR Terengganu - Jangan Perkecil Sumbangan Guru

Zakaria Hussin (duduk) bersama sebahagian pegawai Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu ketika memulakan tugas di Kuala Terengganu, semalam.

Dakwaan sesetengah pihak kononnya kecemerlangan Terengganu yang berterusan dalam peperiksaan awam terutama Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) disebabkan soalan bocor, tidak berasas sama sekali.

Pengarah Pelajaran negeri, Zakaria Hussin menegaskan, beliau tidak memahami mengapa dakwaan itu kedengaran dan seolah-olah memperkecilkan kesungguhan warga pendidik di negeri ini yang tidak kenal jemu dan berpenat lelah bagi memastikan kejayaan pelajar mereka.

Beliau berharap tanggapan sebegitu dihentikan kerana ia tidak pernah berlaku dan kejayaan Terengganu dalam peperiksaan khususnya menjadi negeri terbaik dalam UPSR untuk 11 tahun berturut-turut tidak seharusnya dipertikaikan mana-mana pihak.

"Ini adalah tanggapan negatif masyarakat luar yang tidak tahu betapa seriusnya jabatan dengan kerjasama erat kerajaan negeri mahu menjadikan Terengganu sebagai negeri anjung ilmu dan kuasa baru dalam dunia pendidikan di Malaysia," katanya.

Pengarah Jabatan Pelajaran yang baru berkata, dakwaan itu juga seolah-olah mempertikaikan kredibiliti Majlis Peperiksaan Malaysia serta warga pendidik di Terengganu.

Zakaria berkata, Kerajaan negeri menyediakan peruntukan yang banyak serta memberikan pelbagai kemudahan kepada pelajar di negeri ini bagi memastikan mereka berjaya dalam pelajaran.

No comments:

Post a Comment