Tuesday, March 27, 2012

Piala FA - T-Team, Terengganu, Kelantan, Johor FC Ke Separuh Akhir?

Terengganu menghadapi laluan sukar bertemu Lion XII di Singapura malam ini.
Di atas kertas, Terengganu, T-Team, Kelantan dan Johor FC dijangka akan ke separuh akhir Piala FA.
 
Namun, apakah itu akan menjadi kenyataan?

Naib juara Piala FA, Kelantan mengorak langkah kanan dan paling selesa untuk menebus kekecewaan final tahun lalu dengan mengutip bekal selesa di Stadium Nasional Bukit Jalil selepas menewaskan pasukan Liga FAM, SPA FC 3-0 Sabtu lalu.

Kelantan berada di kelasnya tersendiri pada aksi pertama saingan suku akhir Piala FA dan mendominasi permainan sebaik wisel permulaan ditiup, walaupun gagal membolosi gol lawan.

Kedah pula walaupun hanya mampu seri dengan T-Team di Alor Setar, yakin melakukan sesuatu di luar dugaan di Kuala Terengganu.
 
T-Team perlu menangi di gelanggang sendiri petang ini untuk mencipta rekod tersendiri.
Pasukan Liga Perdana, Sime Darby pula walaupun menang namun belum selamat. Kemenangan mengejut 3-2 ke atas Johor FC pada perlawanan suku akhir pertama Piala FA di Stadium Selayang memang memberikan kelebihan.

Namun, berbekalkan dua gol di tempat lawan, Johor FC yang menjadi 'pembunuh gergasi', apabila menumbangkan Negeri Sembilan pada pusingan pertama sebelum menyekat Selangor pada pusingan kedua, diramalkan akan mara ke separuh akhir.

Arthur Henrique yang menjaringkan dua gol ketika perlawanan di Selayang diharapkan akan menjadi pemusnah Sime Darby sekali lagi.

Terengganu pula walaupun yakin memang, berada di jurang bahaya apabila bertemu Lion XII FC dan bagi jurulatih Terengganu, Mat Zan Mat Aris perlawanan itu akan menentukan kedudukan Terengganu yang juga juara Piala FA 2011 sama ada hidup atau mati dalam kejohanan kali ini.

Beliau akui kunjungan Terengganu ke Singapura merupakan satu misi yang amat sukar, lebih-lebih lagi dengan modal yang amat tipis. Terengganu mengalahkan Lion XII FC 1-0 dalam pertemuan pertama mereka di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di Kuala Terengganu malam Sabtu lalu hasil jaringan pemain tengah Joseph Kalang Tie pada minit ke 65 separuh masa kedua.

Mat Zan mengakui Lions XII mempunyai kekuatan di bahagian tengah namun Terengganu tidak berhasrat untuk menampilkan corak permainan bertahan."Kami tidak perlu bertahan kerana kami juga perlukan gol untuk menjamin tempat ke separuh akhir," ujarnya.

1 comment:

  1. kepada pengurusan pasukan terengganu dan T-Team, dicadangkan tukarlah corak baju pasukan biar menampakkan imej yang kuat dan gagah, sekarang baju dgn warna putih tak mencerminkan kegagahan, keceriaan dan semangat kepada pasukan terengganu dan penonton, sesungguhnya penampilan dgn gaya akan memberi impak positif kepada pasukan disamping jurulatih dan pemain.

    ReplyDelete