Friday, March 30, 2012

Program Pelapis Majid Lahirkan Imam, Bilal Muda

Program pelapis masjid yang diperkenalkan Majlis Agama dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) mulai tahun lepas telah memperlihatkan keberkesanannya apabila ia berjaya menarik lebih ramai golongan muda khususnya di peringkat sekolah untuk sama-sama ke masjid.

Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Wan Harujan Wan Sulaiman berkata, hasil maklum balas diterima pihaknya juga menunjukkan program sedemikian juga secara tidak langsung mampu melahirkan pelapis imam dan bilal kerana ia turut berupaya mencungkil bakat golongan berkenaan.

“Program pelapis masjid ini adalah satu pendekatan diperkenalkan Maidam untuk membiasakan diri anak-anak atau golongan muda dengan masjid. Kebiasaannya, peserta akan berada di sesebuah masjid bagi tempoh sehari semalam.

“Peserta terlibat akan diberi tunjuk ajar dalam pelbagai perkara termasuk cara mengambil wuduk dengan betul dan penekanan dari aspek kerohanian. Pelaksanaan program ini diuruskan oleh pihak sekolah, manakala peruntukkan sepenuhnya disediakan Maidam.

“Program ini telah dilaksanakan secara menyeluruh di semua daerah, hasil maklum balas diterima daripada pihak yang telah melaksanakannya mendapati anak-anak yang terlibat ini lebih ramai serta rajin ke masjid. Pastinya perkara ini satu perkembangan positif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian sewaktu Pelancaran Program Mentor Mentee di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Midin, di Kuala Terengganu, semalam.

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment