Kerajaan negeri berharap Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu (PPNT) akan turut membantu kerajaan dalam usaha menarik lebih ramai pengunjung ke negeri ini sekaligus mampu menjayakan Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, YB Dato’ Haji Rahin Mohd Said,, berkata dengan kerjasama semua pihak termasuk Badan Bukan Kerajaan (NGO) ia dapat meningkatkan industri pelancongan melalui pelbagai aktiviti dan tawaran pakej yang menarik.
“Jika mampu mempertingkat promosi mengenai produk dan tempat menarik di negeri ini, pastinya dapat memberi persepsi yang baik terhadap sektor pelancongan dan kerajaan mensasarkan pelancong domestik lebih ramai berkunjung pada setiap tahuni,” katanya.
Katanya, pihaknya berharap supaya lebih ramai pelancong dari negara jiran seperti Singapura, Thailand, Brunei, Indonesia dan Filipina datang mengunjungi puluhan destinasi menarik yang terdapat di Terengganu.
“Jika pihak berkaitan bijak mengadakan promosi dan menghebahkan keindahan tentang negeri ini kepada pelancong luar, tidak mustahil sasaran yang dikehendaki itu akan tercapai,” katanya.
Menurutnya, pada masa sama, kerajaan negeri sentiasa bersedia sekiranya terdapat mana-mana pihak bersetuju ingin menjadikan Terengganu sebagai lokasi sukan ekstrim.
“Jika bersesuaian dan mampu memberi impak positif kepada rakyat dan ekonomi negeri ia boleh dijadikan sebagi program tahunan serta mengisi kalendar pelancongan negeri.
“Sebelum ini beberapa sukan lasak seperti Kenyir Motocross Monsoon Challenge, 4X4 Rainforest Challenge International, Kejohanan Drive Ride (DR) 4X4 Ranggok Antarabangsa 2012 setia memilih Terengganu selaku tuan rumah,” katanya.
No comments:
Post a Comment