Seorang remaja yang menghidap penyakit mata yang kronik akhirnya bersetuju untuk mendapatkan rawatan di hospital selepas dipujuk Anggota Parlimen Barisan Nasional kawasan Dungun Datuk Matulidi Jusoh yang melawatnya di Paka, dekat Dungun, semalam.
Afeza Daud, 21, mengalami sakit mata konik apabila matanya membengkak sejak sebulan lepas dan hanya mendapatkan rawatan tradisional selepas dikatakan trauma berikutan pengalaman pahit ketika menerima rawatan di sebuah hospital kerajaan sebelum ini.
Keadaan penuntut Diploma Kursus Perakaunan Kolej Poly-Tech Mara, Kuantan, Pahang itu kini semakin buruk apabila keseluruhan matanya terjojol keluar dan membengkak manakala anak mata hitamnya menjadi semakin menipis dan kering.
"Saya tak mahu ke hospital sebab sakit. Tetapi, saya rindukan kawan-kawan dan ingin mendapatkan segulung diploma secepat mungkin," katanya di Dungun, semalam.
Afeza merupakan anak tunggal dan kini tinggal di Kampung Limbong dekat Paka bersama ibunya, Siah Senik yang tidak bekerja dan ibu saudaranya Azizah Senik yang mengambil upah mengasuh kanak-kanak untuk menyara kehidupan mereka sekeluarga.
Azizah berkata anaknya mula mengalami penyakit itu akhir Januari lepas apabila sering mengadu sakit kepala dan tidak boleh memberi tumpuan ketika proses pembelajaran dalam kelas menyebabkan dia dihantar pulang ke rumah oleh pensyarah kolej.
"Ketika itu, matanya hanya kelihatan seperti digigit semut dan dia tidak mengadu sakit. Selang beberapa hari kemudian, tiba-tiba matanya menjadi bengkak sehingga terkeluar dari kelopak.
"Saya terus membawanya ke sebuah klinik pakar di Kuala Terengganu, malangnya doktor berkenaan tidak berani merawat Afeza kerana keadaan matanya sudah terlalu kronik," katanya.
Klinik swasta itu menyarankan Afeza dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu, tetapi gadis itu enggan kerana trauma dengan kesakitan yang dialami ketika ditahan dalam wad sebelum ini.
Azizah menjelaskan tahun lepas Afeza sering mengalami sakit kepala dan apabila dibawa ke sebuah hospital luar dari Terengganu, doktor mengesyaki dia menghidap leukemia dan ingin mengambil sampel air tulang belakang.
Beliau berkata kesakitan yang dialami semasa menjalani prosedur itu menyebabkan Afeza lebih rela berada di rumah dan hanya bergantung harap dengan ikhtiar bomoh yang merawatnya walaupun matanya semakin teruk.
Afeza berkata dia sememangnya ingin cepat sembuh dan meneruskan impian bergelar akauntan berjaya untuk meringankan beban ibu saudaranya yang selama ini bertungkus lumus mencari wang untuk membesarkannya.
Sementara itu, Matulidi berjanji akan membiayai kos perubatan Afeza di Hospital Dungun sebelum dirujuk ke hospital lain sekiranya perlu.
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Dungun yang turut sama dalam kunjungan itu menyampaikan sumbangan RM200 dari Tabung Bantuan Segera.
Hidup lebih ceria dengan Perap Cenderawaseh..rahsia hilang segala sakit dan tingkat ketrampilan dengan khasiat alam semulajadi nano mikrofungus dan tumbuhan
ReplyDelete