Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pelarasan gaji berdasarkan Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang diumumkannya kelmarin berikutan pemansuhan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) melibatkan peruntukan tambahan RM6 bilion.
Perdana Menteri berkata, peruntukan tambahan itu disediakan kerana kerajaan mahukan lebih ramai penjawat awam menikmati pelarasan gaji maksimum terutama golongan dalam kategori kumpulan pelaksana ataupun sokongan.
“Kali ini kita nak ramai yang menikmati pelarasan gaji maksimum sehingga 13 peratus, jadi kita naikkan sampai kepada Gred 54. Dengan ini kita terpaksa cari peruntukan tambahan yang kesemuanya lebih RM6 bilion tetapi jumlah sebenar kita sedang tentukan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sekolah Agama Taman Molek di Johor Bahru
semalam.
Turut hadir ialah Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman.
Kelmarin, Perdana Menteri mengumumkan SBPA yang sepatutnya berkuat kuasa pada 1 Januari lalu dibatalkan dan mengekalkan SSM yang ditambah baik.
Seiring dengan itu, beliau mengumumkan pelarasan gaji sebanyak 13 peratus bagi Kumpulan Pengurusan dan Profesional dan Kumpulan Pelaksana daripada Gred 1 hingga Gred 54, bagi Kumpulan Gred Utama C, B dan A (sembilan peratus), Gred Turus 3 dan 2 (lapan peratus) dan Gred Turus Satu dan Ketua Setiausaha Negara (tujuh peratus) selain kenaikan elaun Bantuan Sara Hidup (COLA).
No comments:
Post a Comment