Saturday, March 24, 2012

RM15 Juta Diperuntukkan Bagi Biaya TMT 2013

Bermain dengan ikan kelah yang jinak
Kerajaan negeri dijangka membelanjakan lebih RM15 juta bagi menjayakan strategi dan matlamat Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013, secara lebih berkesan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said, berkata kos promosi TMT 2013 terpaksa dinaikkan sekali ganda berbanding TMT 2008 kerana bayaran berkaitan promosi seperti tambang penerbangan ke luar negara dan bayaran kepada perunding meningkat.



Katanya, kerajaan sentiasa mencari peluang bagi menempatkan diri dalam sebarang usaha promosi di ekspo dan pameran pelancongan di dalam dan luar negara melalui Tourism Malaysia, termasuk menyertai MATTA Fair Kuala Lumpur, Malaysia International Dive Expo Kuala Lumpur, NATAS FAIR Singapore, ITB Berlin, World Trade Market London, Shanghai Travel Expo China, Beijing International Travel Fair China dan Korea World Tourism Fair Seoul.

“Kerajaan negeri juga akan terus memperkasakan produk pelancongan sedia ada di samping memberi nilai tambah semua tempat peranginan.

“Terengganu turut memberi tumpuan kepada penganjuran acara pelancongan berasaskan destinasi seperti Kapas Marang International Swimathon; Fiesta Candat Sotong; Terengganu Master Golf Invitational; Kenyir Cup; Perhentian Island Challlenge; Kenyir Lake International Triathlon dan Kejohanan Kapal Layar Piala Monsun,” katanya.

Menurutnya, projek Kenyir Island Hoping (KIH) di Tasik Kenyir yang merangkumi 10 pulau kecil, akan terus dimajukan sebagai usaha menarik lebih ramai pelancong ke Terengganu.

“Pada masa sama, kecantikan dan keunikan semua pulau itu, termasuk Pulau Herba, Pulau Rama-Rama, Pulau Burung, Pulau Orkid akan diilhamkan dalam bentuk corak pada kain songket dan sutera. “Pendekatan ini sangat wajar kerana ia bukan hanya dapat mempromosi secara berterusan malah dapat meningkatkan lagi penjualan produk berkaitan,” katanya.

Teganukita

No comments:

Post a Comment