Friday, March 2, 2012

Sultan Terengganu Mahu Lebih Ramai Orang Muda Ke Masjid

Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah tindakan segera perlu diambil bagi menarik lebih ramai golongan muda ke masjid termasuk membimbing mereka menjadi imam dan bilal.

Menurut baginda, pihak berwajib termasuk jawatankuasa masjid, perlu mengadakan program yang boleh menarik minat golongan muda serta melatih mereka dengan ilmu yang bersesuaian.

Sultan Mizan bertitah demikian ketika merasmikan Masjid Kuala Pueh di Hulu Terengganu hari ini dan menamakannya Masjid Al-'Atiyyah.


Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said dan Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu Mohd Rozali Salleh. Baginda bertitah, ketika ini didapati golongan muda kurang bersedia untuk berkhidmat sebagai imam atau bilal di masjid di Terengganu.

"Kehadiran generasi muda di masjid-masjid amat perlu memandangkan mereka akan menjadi generasi pelapis di masa akan datang," titah baginda.

Baginda turut menyarankan agar dihidupkan program-program keagamaan di masjid seperti ceramah, taddarus Al-Quran, tahlil, halaqah, zikir dan lain-lain bagi mengimarahkan masjid.

"Adalah menjadi harapan beta untuk melihat rakyat Terengganu dapat memakmurkan masjid sepanjang waktu kerana pada hari akhirat kelak masjid akan datang memberi syafaat dan pertolongan kepada orang yang mengimarahkannya," titah baginda.

Masjid Al-'Atiyyah Kampung Kuala Pueh yang bernilai RM1.9 juta mampu menampung 750 orang jemaah

No comments:

Post a Comment