Friday, March 2, 2012

T-Team Elak DiLibas Bujang Senang

Faiz (kiri) menjadi senjata T-Team bagi merobek gawang Sarawak pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam ini.

Selepas hampir dua minggu berehat, aksi Liga Super kini kembali menghiasi pentas bola sepak tanah air apabila pasukan berstatus kelab, T-Team melayan kunjungan Sarawak di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam ini.

Beraksi selaku tuan rumah, anak-anak buah Yunus Alif itu diramal mudah meraih tiga mata, sekali gus memungkinkan mereka melonjak ke tangga kedua liga.

Bagaimanapun, nada rendah diri tetap disuarakan Yunus yang mengakui standard tinggi yang dimiliki pasukan lawan dan mahu pemain-pemainnya tidak memandang mudah pertemuan malam ini.
 Katanya, Sarawak merupakan sebuah pasukan yang memiliki semangat tinggi dan mampu menewaskan mana- mana pasukan dalam Liga Super.

"Memang kelebihan memihak kepada kami kerana kami akan bermain sebagai tuan rumah. "Namun, itu tidak bermakna kami akan mengambil mudah perlawanan ini.

"Bagi saya, semua pasukan yang beraksi dalam Liga Super memiliki kualiti masing- masing dan sesiapa sahaja boleh memenangi perlawanan," katanya.

Justeru kata Yunus, beliau mahu pemain-pemainnya menggunakan tempoh rehat yang panjang sebelum ini untuk tampil dengan corak permainan terbaik.

Jelasnya lagi, semua pemain T-Team kini berada pada prestasi terbaik termasuk perancang tengah, Zairo Anuar Zailani dan pemain sayap lincah, Faiz Subri.

"Hanya kita yang akan bermain pada Jumaat  (malam ini), manakala pasukan- pasukan lain akan bermain pada keesokan harinya (Sabtu).

 "Jadi, ini juga merupakan peluang untuk kami memintas pasukan-pasukan yang berada di atas kami sekali gus melonjakkan lagi semangat para pemain," katanya.

Untuk rekod, T-Team kini menduduki tangga kelima liga dengan 13 mata dan hanya dipisahkan empat mata di belakang pendahulu liga, Kelantan.

Mengenai percaturan pemain, Yunus menjelaskan, beliau masih memberi kepercayaan kepada Zairo untuk merencanakan jentera tengah bagi membuka peluang kepada Faiz dan Fazli Shaari menjaringkan gol.

"Zairo merupakan pemain yang baik dan setakat ini sahaja, dia telah meledak lapan gol dengan kebanyakannya terhasil menerusi sepakan percuma," tambahnya.

Kosmo

No comments:

Post a Comment