Friday, March 2, 2012

Kerajaan Lulus Peruntukan RM29.13 Juta Untuk Pembangunan Kuala Nerus


Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mengumumkan kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM29.13 juta untuk projek pembangunan di Kuala Nerus.

Beliau berkata peruntukan itu untuk 16 projek infrastruktur di kawasan Parlimen Kuala Nerus yang bakal dijadikan daerah kelapan di Terengganu tidak lama lagi.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata peruntukan itu termasuk RM25 juta untuk projek pembinaan sebuah sekolah sukan dan tender pembinaannya akan dibuka April ini.


"Saya dimaklumkan Menteri Besar (Datuk Seri Ahmad Said) bahawa sekolah itu akan dibina tidak jauh dari tapak Kompleks Sukan Gong Badak di sini," katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Sekolah Menengah Teknik Kuala Terengganu, di Kuala Terengganu,  yang dihadiri kira-kira 20,000 orang.

Daripada peruntukan itu, RM4.13 juta untuk projek pembangunan dan menaik taraf infrastruktur di kawasan Parlimen itu termasuk membaiki jambatan Pulau Sekati di kawasan Dewan Undangan Negeri Bukit Tunggal membabitkan kos RM500,000, membina longkang di Wakaf Tembesu (RM200,000) dan membina Dewan Serbaguna Bukit Tok Beng (RM250,000).

"Saya harap peruntukan itu dapat digunakan untuk melaksanakan projek-projek bersesuaian, bertepatan dengan hasrat menjadikan Kuala Nerus daerah paling bongsu di Terengganu," katanya.

Sementara itu, Anggota Parlimen Kuala Nerus Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fikri menyambut baik berita yang disampaikan Timbalan Perdana Menteri.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri kerana meneruskan pembinaan sekolah sukan ini sebagaimana yang kita tahu ianya telah diumumkan pada 2008.


"Kita harap semua projek yang dirancang ini dapat dilaksanakan dalam tempoh dua bulan lagi. Jadi mungkin sebelum pilihan raya umum ke-13, Kuala Nerus akan diisytiharkan sebagai daerah baru," katanya.

No comments:

Post a Comment