T-Team menempah tiket pertama ke suku akhir Piala FA selepas menewaskan gergasi Liga Perdana Pahang 3-2 pada aksi pusingan kedua yang berlangsung di Stadium Sultan Nasiruddin Shah, malam semalam.
Bermain di laman sendiri memberi keyakinan kepada pasukan yang diberi jolokan 'penyu muda' itu menguasai permainan sebaik wisel permulaan ditiup pengadil perlawanan Mohd Nazmi Nasarudin.
Pada pertembungan itu, T-Team menguasai keseluruhan separuh masa pertama biarpun sesekali dicabar hebat skuad Tok Gajah yang gemar melakukan gerakan dari sayap kiri.
Babak pertama menyaksikan benteng pertahanan T-Team kendalian pemain yang baru pulih dari kecederaan, Fadzli Saari dengan gandingan pemain import Bosnia Herzegovina Bojan Petric, ternyata sukar ditembusi skuad Tok Gajah, yang sekadar mampu melakukan rembatan jarak jauh.
Namun, selang empat minit babak kedua (minit ke-49), Pahang memperoleh gol pembukaan menerusi Hazuan Daud, yang membuat rembatan dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gol tuan rumah.
Tersentak dengan jaringan pelawat, anak didik Yunus Alif bangkit mencari gol penyamaan dan Azrul Hazran bijak mencari peluang dengan meledakkan gol penyamaan pada minit ke-55.
Kealpaan T-Team kemudian dihukum pasukan pelawat pada minit ke-58 menerusi jaringan gol kedua oleh Azamuddin Akil.
T-Team yang ingin menempatkan diri sebagai pasukan pertama layak ke suku akhir, berjaya mencari gol penyamaan lima minit kemudian dengan jaringan Fadzli
Saari.
Aksi bertambah rancak apabila kedua-dua pasukan melancarkan serangan bertubi-tubi ke gol lawan masing-masing.
Tuah terus memihak kepada T-Team apabila berjaya memanfaatkan masa tambahan dengan melengkapkan kemenangan menerusi rembatan Faiz Subri pada minit ke-94.
No comments:
Post a Comment