Saturday, March 10, 2012
Sokongan Kepada Perdana Menteri Meningkat 69 Peratus - Merdeka Centre
Rating sokongan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meningkat ke 69 peratus dari 59 peratus pada Ogos 2011, demikian menurut Merdeka Centre for Opinion Research.
Pusat tinjauan pendapat itu berkata, ini disebabkan mood orang ramai yang lebih senang dengan keadaan ekonomi umum dan pengagihan dana bagi meringankan beban ekonomi keluarga berpendapatan rendah.
Pusat itu berkata tinjauannya mendapati antara 10 dan 23 Feb, sokongan terhadap perdana menteri paling tinggi, pada 78 peratus, di kalangan keluarga dengan pendapatan di bawah RM1,500 sebulan, dengan responden India pada 80 peratus dan responden Melayu 74 peratus.
Tinjauan itu juga mendapati rasa puas hati dengan perdana menteri adalah lebih tinggi di kalangan responden pada usia 50 tahun ke atas, di tahap lebih 73 peratus, berbanding 64 peratus di kalangan responden lebih muda berumur antara 21 hingga 30.
Hasil tinjauan juga menunjukkan sebanyak satu pertiga daripada responden yang mirip kepada Pakatan Rakyat, selaku pembangkang, melahirkan rasa puas hati dengan perdana menteri.
"Pada pendapat kami, meningkatnya rasa puas hati orang ramai barangkali disebabkan kesedaran meluas tentang inisiatif mesra rakyat dan cadangan menambah baik kedudukan demokrasi Malaysia, seperti penggantian Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), cadangan pindaan terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti, dan langkah-langkah bagi meningkatkan ketelusan proses pilihan raya," kata pusat itu.
Rasa positif terhadap kerajan adalah lebih tinggi di kalangan pengundi lebih tua dan paling rendah di kalangan pengundi muda, menurut tinjauan itu yang dijalankan bagi menilai persepsi pengundi terhadap perkembangan semasa dalam negara.
Sejumlah 1,022 pengundi berdafar, terdiri daripada 59 peratus responden Melayu, 32 peratus Cina dan sembilan peratus India, diinterbiu menerusi telefon pada tinjauan itu.
No comments:
Post a Comment