Saturday, April 28, 2012

Ahmad Said Harap Penyu kekal Momentum Kemenangan

Pemain import Terengganu, Francis Forkey Doe (tengah) diasak dua pemain Song Lam Nghe An dalam saingan Piala AFC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, kelmarin.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berharap agar pasukan Terengganu mengekalkan momentum selepas menang bergaya 6-2 ke atas kelab Vietnam, Song Lam Nghe An apabila menentang Sime Darby dalam saingan separuh akhir kedua Piala FA, Selasa ini.

Katanya, momentum itu amat diperlukan bagi memastikan skuad Penyu melangkah ke perlawanan akhir sekali gus mempertahankan gelaran yang dimenangi mereka musim lalu.

"Alhamdulillah, kita menang malam tadi (kelmarin) dan ada peningkatan yang ditunjukkan selepas saya mengadakan perjumpaan dengan pengurusan dan jurulatih untuk membuat perubahan dalam pasukan. "Ternyata formula kita menjadi kali ini," katanya kepada pemberita di Dungun, kelmarin.

Ketua jurulatih Terengganu, Mat Zan Mat Aris pula yakin Terengganu layak ke pusingan akhir Piala FA untuk mempertahankan kejuaraan bagi dua tahun berturut-turut.

Sehubungan itu beliau akan menurunkan kesebelasan terbaik apabila bertemu Sime Darby dalam separuh akhir kedua Selasa ini.

Pada  perlawanan separuh akhir pertama, Terenggganu kalah 1-2 kepada Sime Darby.

"Saya menaruh harapan dengan kemampuan pemain saya kerana saya melihat mereka kembali mendapat sentuhan dan prestasi yang memberangsangkan ketika menewaskan kelab dari Vietnam, Song Lam Nghe An 6-2 dalam cabaran Piala AFC di Kuala Terengganu, malam Rabu lalu.

 "Semua pemain diharap waspada dan saya akan kerah mereka bagi menebus maruah Terengganu yang telah tercalar (setelah kalah kepada Sime Darby). Kita mahu mempertahankan kejuaraan Piala FA," katanya.

Mengulas mengenai kejayaan Terengganu malam tadi,Rabu lalu,  Mat Zan berkata, beberapa pengubahsuaian pemain telah dirombak bagi mengatasi persembahan hambar dalam beberapa perlawanan Piala AFC sebelum ini.

Penolong pengurus pasukan Terengganu, Sheikh Tajudin Sheikh Yusof berkata, kebangkitan Terengganu ada kaitan dengan nasihat Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.

"Kita tidak mahu menghampakan Menteri Besar kerana beliau merupakan peminat bola sepak nombor satu di mana beliau telah memberikan suntikan semangat kepada pemain-pemain supaya bangkit daripada persembahan hambar," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Said menyifatkan tindakan segelintir penyokong yang memprotes pasukan berikutan aksi hambar sejak kebelakangan ini sebagai tidak rasional.

"Terpulanglah kepada mana-mana penyokong yang ingin bertindak memprotes pasukan kita (Terengganu) dan situasi itu jelas menunjukkan mereka adalah peminat yang tidak rasional.

"Dalam setiap perlawanan bola sepak, siapa yang tidak ingin melihat pasukan pilihan menang. Tapi adatlah dalam sukan bola sepak ini.

Ada menang dan ada yang kalah, tetapi selaku peminat sejati kita kena terus beri sokongan," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh berharap kemenangan 6-2 pada perlawanan menentang Song Lam, kelmarin dapat meredakan kemarahan penyokong yang sebelum ini tidak berpuas hati dengan prestasi pasukan.

Beliau juga memuji sikap pemain yang tidak menghiraukan cemuhan serta tindakan penyokong, malah mampu bermain dengan baik.

"Pada saat pelbagai kontroversi melanda, skuad ini mampu melakar kejayaan seumpama ini dan kita harap momentum itu diteruskan untuk memburu misi juara Piala FA 1 Mei ini," jelasnya.

No comments:

Post a Comment