"Saya sangat berharap agar kementerian (Kerja Raya) dapat mempercepatkan proses
membuka tender untuk melantik kontraktor lain bagi menyiapkan pembinaan
jalan raya di dua laluan itu. Jika ia mengambil masa panjang, ini akan
merugikan banyak pihak terutama kerajaan negeri kerana kos kewangan
semakin meningkat selaras dengan kelewatan itu," - Ahmad Said
Analisis oleh Hambali Abdul Latiff
Antara ‘projek Persekutuan’ yang menjadi peluru kepada pembangkang khususnya PAS ‘menembak’ Kerajaan Negeri Terengganu pimpinan UMNO ialah isu stadium runtuh dan kelambatan siapnya pembinaan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Fasa 2.
Isu ini bukan sahaja diperkatakan di ceramah-ceramah tetapi isu yang diwarisi oleh Datuk Seri Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu daripada kepemipinan sebelum ini yang diperkatakan dengan hangat pada setiap sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu sejak 2008 hinggalah yang terbaru antara 24 hingga 25 April lalu.
Wakil PAS, khususnya ADUN Batu Burok, Dr Syed Azman Syed dan ADUN Wakaf Mempelam, Wahid Endut pasti akan menggunakan dua isu ini sebagai peluru utama menghentam kerajaan pimpinan Ahmad Said dan Menteri Besar perlu menjawab semua soalan dan keputusan yang dibuat khususnya oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).
Malah dua isu ini mudah untuk ADUN PAS ‘nganjing’ (sindir kepada Ahmad Said kerana mereka ketandusan isu Terengganu untuk diperkatakan!
Berbuih sudah mulut Ahmad Said menjawab dan menepis tuduhan pembangkang namun pihak yang terbabit dengan projek kedua-dua projek ini jelas ‘ambil masa lunak sendiri’ menyiapkan kedua-dua projek ini dan kontraktor pula ‘nampaknya kenyang dan selesa’.
Yang panas telinga dan membara di dada adalah Ahmad Said. Kerana itu wajar sekali kalau beliau berang dan terkadang ‘naik hangin’ juga dengan JKR.
Bukan sekadar ‘berpanas’ pada siding DUN tetapi Menteri Besar itusudah acap kali berpanas di bawah cahaya matahari dan meredah hujan untuk meninjau sendiri perkembangan pembinaan LPT Fasa2 ini.
Apabila hampir Hari Raya Puasa, Ahmad Said semakin bimbang dan resan memikirkan anak perantau Terengganu yang akan pulang ke kampong dan kembali semula ke tempat kerja mereka seminggu kemudian.
Menteri Besar seboleh-bolehnya mahukan perjalanan selesa bagi anak perantau dan keluarga dan LPT 2 yang dibina, antara fungsinya adalah melega dan melelesakan pemanduan mengelakkan kesesakan jika melalui jalan pantai yang menjadi jalan utama sekarang.
Tidak hairanlah kelmarin Ahmad Said meluahkan kekecewaannya sekali lagi terhadap Kementerian Kerja Raya kerana lewat membuka semula tender bagi menyiapkan membabitkan dua laluan yang masih terbengkalai.
Kementerian sepatutnya membuka tender untuk melantik semula kontraktor yang lebih berwibawa bagi membolehkan dua pakej yang belum siap iaitu pakej 7 laluan Paka-Kemaman sejauh 13.7 kilometer dan pakej 4 laluan Stesen Mardi-Ibok sejauh 3.7 kilometer dilaksana secepat mungkin.
Kalaulah Kerajaan Terengganu ada kuasa, lama sudah perkara ini dapat diatasi, mungkin itu keadaan sebenar dan dalam benak Menteri Besar itu.
Tetapi kerana ditentukan kementerian, muka Ahmad Said terpaksa tebal dibelasah pembangkang di persidangan DUN dan berdepan dengan rakyat yang menaruh harapan tinggi tetapi di kecewakan oleh pihak lain, khususnya Kementerian Kerja Raya.
"Saya sangat berharap agar kementerian dapat mempercepatkan proses membuka tender untuk melantik kontraktor lain bagi menyiapkan pembinaan jalan raya di dua laluan itu. Jika ia mengambil masa panjang, ini akan merugikan banyak pihak terutama kerajaan negeri kerana kos kewangan semakin meningkat selaras dengan kelewatan itu," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja bermula dari Plaza Tol Gemuruh, Kuala Terengganu hingga ke Plaza Tol Bukit Besi di Dungun sehari suntuk kelmarin.
Ahmad Said diiringi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Za'abar Mohd Adib, juga meninjau keseluruhan laluan LPT sejauh 63.4 kilometer itu, termasuk laluan yang masih dalam pembinaan di sepanjang susur keluar Bukit Besi-Kuala Dungun.
Beliau berkata, jika kontraktor baru yang bakal dilantik itu memberi komitmen terhadap pembinaan dua laluan yang terbengkalai itu, ia dijangka siap dalam tempoh enam bulan sahaja.
"Ini kerana bagi laluan pakej 4, kerjanya sudah siap 60 peratus manakala bagi pakej 7, ia sudah siap 50 peratus," katanya.
Itulah kedudukannya mengenai projek LPT Fasa 2 ini.
‘Di telan mati emak, diluah mati bapak’, marah dan ‘menyalak’ pun sudah, tidak menyatakan keadaan sebenar di negeri sendiri Ahmad Said dibelasah pembangkang.
Yang diharapkan oleh kerajaan negeri dan Ahmad Said ialah, pembukaan LPT sepenuhnya dapat dilakukan selewat-lewatnya sebelum akhir tahun depan.
No comments:
Post a Comment