Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyasarkan keanggotaan Askar Wataniah akan mencapai 200,000 orang menjelang tahun 2020, kata Panglima Medan Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Zulkiple Kassim.
Beliau berkata, ATM komited untuk menambah kekuatan anggota AW di seluruh negara yang pada ketika ini berjumlah 100,000 anggota dengan nisbah satu anggota anggota tetap kepada satu anggota sukarela.
"Kemasukan AW tidak terhad dan terbuka kepada semua rakyat Malaysia. Saya menyeru anak muda untuk menyertainya bagi melengkapkan sistem pertahanan negara," katanya kepada pemberita di majlis pelancaran Kompeni Askar Wataniah FELDA Peringkat Terengganu di Sekolah Menengah Bandar Ketengah Jaya di Dungun semalam.
Beliau sebelum itu memeriksa perbarisan Rejimen 512 Askar Wataniah terdiri daripada 145 anggota AW generasi FELDA di Terengganu.
Ini adalah kompeni ketiga AW Felda selepas pelancaran Kompeni pertama oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Gedangsa, Selangor 12 Februari lalu.
Zulkiple berkata, usaha Gabungan Wawasan Generasi FELDA yang menarik anak peneroka menyertai AW perlu dipuji kerana usaha ini melengkapkan tiga daripada 10 kompeni Askar Wataniah Felda di seluruh Negara.
Menjelang hujung tahun ini, ATM bakal disertai 10,000 anggota tambahan terdiri daripada golongan peneroka FELDA membabitkan 10 kompeni AW di seluruh negara.
No comments:
Post a Comment