Pasukan kebangsaan terus memperagakan aksi memberangsangkan apabila bermula dengan langkah kanan pada perlumbaan prolog Tour of Thailand 2012 (ToT 2012) sejauh 2.85 kilometer di Chiangrai semalam.
Mereka kini menduduki tempat kedua terbaik ASEAN keseluruhan.
Tiga pelumba negara, Suhardi Hassan, Amir Mustafa Rusli dan Muhammad Nur Rizuan Zainal merakamkan masa terbaik 3 minit 19 saat pada purata kelajuan 55km sejam sekali pun berkayuh pada altitud tinggi 405 meter daripada paras laut sekali gus melaung amaran betapa mereka sudah bersedia untuk perlumbaan peringkat pertama hari ini.
Namun, catatan 3:19.17s sekadar menyaksikan Suhardi yang bertindak selaku pemimpin pasukan menduduki tempat ke-43 klasifikasi keseluruhan (GC) diekori Amir Mustafa Rusli (ke-45), Muhammad Nur Rizuan (ke-47), Muhd. Fauzan Ahmad Lufti (ke-63) dan Muhammad Rauf Nur Misbah (ke-67).
Skuad lebuh raya negara bimbingan Syed Muhammad Hussaini Syed Mazlan memperaga aksi terbaik pada Kejohanan Lumba Basikal Asia 2012 (ACC 2012) dan Le Tour de Langkawi 2012 (LTdL 2012) dan mereka dituntut terus cemerlang pada ToT 2012 kali ini.
Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Mohamad Saufi Mat Senan muncul pelumba negara terbaik apabila menduduki tempat ke-19 keseluruhan dengan catatan masa 3:14.26s.
Bagaimanapun, Syed Muhammad Hussaini berpuas hati dengan prestasi semua pelumba Malaysia pada perlumbaan prolog semalam.
"Hampir semua berjaya merakam masa bawah 3 minit 21 saat. Saya memang jangkakan pencapaian sebegini pada perlumbaan hari ini. Saya tetap berpuas hati dengan corak kayuhan Mohd. Fauzan dan Muhammad Rauf biarpun mereka gagal mempamerkan prestasi lebih baik sekali pun merupakan pakar acara ujian masa.
"Sebenarnya mereka hilang masa kerana gagal mengambil selekoh tajam dengan baik pada 300 meter daripada garisan penamat.
"Secara keseluruhan saya berpuas hati kerana Malaysia meraih tempat ke-13 berpasukan keseluruhan pada perlumbaan prolog hari ini (semalam)," katanya.
Syed Muhammad Hussaini percaya catatan masa Amir Mustafa seharusnya lebih baik jika pelumba Drapac Professional Cycling Team itu tidak berdepan masalah basikal patah.
"Sudah tentu Amir Mustafa tak selesa dengan basikal yang digunakannya sekarang. Basikal itu bukan kepunyaan Amir. Rasanya dia perlu sekurang-kurangnya dua perlumbaan peringkat untuk menyesuaikan diri dengan kondisi basikal tersebut.
Hakikat tersebut diakui sendiri oleh Amir Mustafa yang tersenarai dalam skuad lima pelumba ke Sukan Olimpik 2012.
"Saya belum dapat 'feeling' sebenar kerana saya terpaksa guna basikal jurulatih (Syed Muhammad Hussainie).
Tapi saya percaya sehari dua lagi saya akan serasi dengan basikal ini. Saya jangka boleh buat sekitar 3 minit 10 saat jika pakai basikal saya.
Apapun saya puas hati dengan pencapaian hari ini (semalam)," katanya.
Kosmo
No comments:
Post a Comment