Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said tidak kecil hati atau marah dengan tindakan provokasi pihak tertentu yang membakar bendera UMNO dan memotong gambar beliau dan ditampalkan pada satu poster lain.
"Biarlah polis siasat dan ambil tindakan," katanya kepada pemberita di Wisma Darul Iman petang semalam.
Beliau mengulas kejadian membakar bendera Barisan Nasional (BN) dan Umno yang
dipasang di tepi parit tali air di Jalan Kubang Buyong, Chabang Tiga di Kuala Terengganu.
Malah dalam kejadian berasingan, kain
rentang yang memaparkan wajah Menteri Besar yang
dipasang berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Losong, turut
dirosakkan.
"Saya tidak akan ambil apa-apa tindakan. Biarlah...serah pada polis. " katanya walapun didesak pemberita untuk mendapatkan reaksinya mengenai kejadian itu.
Laporan Sinar Harian menyebut, belumpun gendang pilihan raya dipalu, sudah ada bibit provokasi awal yang dilihat mula dilakukan oleh pihak tertentu.
Kelmarin, Ketua Pemuda Umno cawangan Makam Lama, Nurshefri Azhar bertindak membuat laporan polis di Balai Polis Chabang Tiga.
Beliau yang kesal dengan kejadian yang dipercayai akibat perbuatan khianat itu berkata laporan polis yang dibuat bertujuan individu tidak bertanggungjawab yang melakukan perbuatan tersebut dikenakan tindakan sewajarnya.
“Bendera yang dibakar itu diikat pada sebatang buluh di tepi parit tali air pada 6 April lalu, bagaimanapun kejadian itu (bakar bendera) hanya disedari kira-kira jam 11 pagi tadi (semalam) selepas menerima maklumat daripada orang awam.
“Berdasarkan saksi, bendera tersebut dibakar dua remaja lelaki yang menaiki basikal kira-kira jam 1 pagi,” katanya.
Kata Nurshefri, setelah mendapat maklumat beliau dan beberapa ahli Pemuda bergegas ke tempat kejadian dan mendapati bendera itu telah rosak dan ada kesan terbakar.
Sementara itu dalam kejadian berasingan, beliau juga mendapati kain rentang yang memaparkan wajah Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dipasang berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Losong, di sini turut dirosakkan.
“Saya terlihat kain rentang berkenaan di pasang berhampiran dengan tempat bendera dibakar turut dirosakkan.
Muka Menteri Besar pada kain rentang itu telah dipotong dan ditampal pada bunting dipasang berhampiran memaparkan gambar seorang penyanyi popular yang akan membuat persembahan pada satu konsert di Kuala Terengganu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan polis di Balai Polis Chabang Tiga kira-kira jam 1.20 petang, semalam.
Kata beliau, pihaknya agak terkejut dengan kejadian tersebut memandangkan ia kejadian pertama yang berlaku.
“Kami berharap pihak berkuasa dapat menyiasat dan mengambil tindakan bagi mengelak kejadian sama berulang,” katanya.
No comments:
Post a Comment