Monday, April 23, 2012

Bapa Syukur Maidam Sumbang Enjin Bot Sangkut



Bapa kepada sembilan anak termasuk seorang anak bongsu yang baru berusia 20 hari bersyukur kerana Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) menyumbang sebuah enjin bot sangkut kepadanya di bawah Bantuan Modal Berdikari.

Nelayan pesisir pantai tersebut, Nordin Mohd Zin, 44, berkata, dia yang menjadi nelayan kecil sejak berumur belasan tahun terharu apabila menerima enjin bot sangkut jenis Suzuki dengan 40 berkuasa kuda bernilai RM10,400.

Menurutnya, tanpa bantuan itu, dia tidak tahu bagaimana cara ingin menyara keluarga dan anak memandangkan enjin bot sedia ada kini rosak teruk dan perlu kos yang tinggi untuk diperbaiki.

“Saya telah memohon zakat untuk mendapatkan enjin bot itu pada Februari lalu dan sekarang alhamdulillah telah dapat,” katanya yang tinggal di Kampung Tandak, Jertih yang mempunyai lima anak masih bersekolah.

Bantuan di bawah Asnaf Miskin itu diserahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jertih, Datuk Seri Idris Jusoh yang disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Wan Harujan Sulaiman serta Pengurus Pusat Urusan Zakat (PUZ) Maidam cawangan Besut, Tuan Azri Tuan Ahmad.

Selain menerima enjin bot, Nordin turut menerima bantuan menukar atap, dinding rumah dan anjung depan rumah daripada Maidam bernilai RM10,000 yang menjadikan nilai keseluruhan bantuan kira-kira RM20,400.

Menurut Wan Harujan, bantuan enjin bot 40 kuasa kuda adalah julung kali disampaikan kepada penerima kerana sebelum ini, enjin bot dengan 15 hingga 30 kuasa kuda sahaja diberikan.

“Saiz kuasa kuda yang lebih besar diberikan kepada Nordin memandangkan dia sering keluar menangkap ikan lebih jauh di laut dan menggunakan laluan sungai untuk ke laut,” katanya.

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment