Sunday, April 8, 2012

Batal Pinjaman - Yayasan Terengganu Tidak Berganjak

PAS menghantar wakil memohon YT timbang semula pembatalan pinjaman pelajar berkenaan.
Kerajaan Negeri Terengganu tetap dengan pendirian menarik balik dengan serta-merta pinjaman ke atas sembilan penuntut yang sedang mengikuti pengajian di Mesir kerana melangggar perjanjian dengan menyertai perhimpunan Bersih 2.0 tahun lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, walaupun ada desakan dan memorandum dihantar menuntut supaya menyambung semula pinjaman tersebut tetapi tidak akan dilayan.


Menurutnya, sebelum ini pelbagai kemudahan telah disediakan oleh Kerajaan Negeri untuk penuntut tetapi mereka tidak memanfaatkannya. “Mereka kena tanggung risikolah. Kita hantar (mereka) untuk belajar bukan buat demonstrasi. Kerajaan Negeri tetap bertegas dengan pendirian kita sebelum ini iaitu menarik balik pinjaman.

“Ramai lagi yang ingin pergi (Mesir),” katanya semasa diminta mengulas mengenai ada desakan supaya menyambung semula pinjaman ke atas sembilan penuntut di Mesir dan terbaru adalah daripada Gerakan Mahasiswa Pantai Timur (Gempur).

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Perjumpaan Bersama Kakitangan Perkhidmatan Awam dan dan Persekutuan Negeri Terengganu, di Wisma Darul Iman Kuala Terengganu, Khamis lalu.

“Dalam facebook Pas kata,.Syed Azman (Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Burok-Pas) kata minta mahasiswa bangkit kerana `Menteri Besar pengkhianat’ dan sebagainya. Sekarang siapa yang mengkhianat? Kerajaan negeri sediakan macam-macam kemudahan dan peluang kepada pelajar.

 “Yang mengkhianat adalah Pas kerana mempengaruhi pelajar supaya menyertai demonstrasi Bersih. Mereka kena tanggung risikolah sebab kita hantar mereka untuk belajar bukannya menyertai demonstrasi,” katanya.

Menteri Besar berkata, penuntut negeri ini yang gagal memanfaatkan kemudahan dan peluang yang disediakan kerajaan kepada mereka dengan melakukan sesuatu yang jelas melanggar undang-undang akan berdepan dengan hukuman dan tindakan tegas.

 “Ramai lagi pelajar yang hendak pergi ke luar negara. Tahun ini lebih 100 orang mahu melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan dan kita akan biayai.

Selain itu, kita juga hantar pelajar yang mahu mengambil jurusan kejuruteraan automatif di Jerman dan menghantar 10 pelajar pengambilan pertama dalam kejuruteraan kapal terbang 147 yang diiktiraf seluruh dunia.

“Tiada masalah bagi kita untuk membiayai pelajar ke luar negara. Jangan kerana kes ini (tarik balik pinjaman) dikatakan saya sebagai pengknianat dan tunjuk macam-macam gambar..saya peluk anak singa `binatang disusukan oleh Menteri Besar, pinjaman rakyat dipotong’..kenyataan itu tidak betul,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Terengganu bersedia mengiktiraf dan memberi penghormatan kepada anak Terengganu yang berjaya selain membiayai mereka yang mahu melanjutkan pelajaran, bagaimanapun kerajaan tidak akan memberi ruang kepada pelajar yang jelas mengkhianat (melanggar undang-undang).

Dalam laporan sebelum ini, Yayasan Terengganu (YT) tetap bertegas dengan tindakan menarik balik pinjaman sembilan pelajar yang terlibat dengan perhimpunan haram di Dataran Hayyu Asyier, Mesir walaupun ada pihak menghantar memorandum supaya tindakan itu dibatalkan.

Timbalan Pengarah (Pendidikan) YT , Razali Mahmud, berkata pihaknya menerima memorandum tersebut yang dihantar 16 wakil Persatuan Gerak Mahasiswa Pantai Timur (Gempur), tetapi YT terpaksa bertegas dengan keputusan itu kerana jelas kesemua pelajar itu melanggar peraturan dengan menyertai perhimpunan haram Bersih.

Katanya, jika tiada tindakan tegas, mungkin lebih ramai lagi pelajar lain akan turut melakukan perbuatan sama selain ada yang menunding jari dan mempelekehkan YT jika bersikap berdiam diri.

1 comment:

  1. Tahniah YT, sebagai rakyat Terengganu saya menyokong penuh tindakan YT yang diamanahkan untuk menjaga kebajikan pelajar yang betul-betul ingin belajar dan berbakti pada Agama, Bangsa dan negara. Jangn tunduk kepada beberapa parasit yang akan menjadi wabak jika ianya tidak dibendung daripada awal. Mencegah dalah lebih baik daripada mengubati. Ramai lagi anak Terengganu yang cemerlang dan memerlukan bantuan YT...Bagi mereka yang ditarik balik bantuan YT jangan salahkan kerajaan kerana peluang sudah diberi tetapi mereka ini tidak mhargai malah jauh sekali untuk berterima kasih, bahkan pula mengigit jari pada yang memberi. So janganlah nak disalahkan pada orang lain. Kepada yang memimpin, menghasut dan menjadi dalang kepada golongan ini, maka mereka inilah yang bertanggungjawab dan menanggung dosa kerana telah mengelapkan masa depan pelajar tersebut...sendiri kena ingatlah

    ReplyDelete