Saturday, April 14, 2012

BOTR 2012 Mulai Gamit Kaki Pancing Untuk Ke Kenyir

Temoleh 15 kg gamit peserta

 INFO Tasik Kenyir • Keluasan: 260 km² • 340 buah pulau kecil • 14 buah air terjun • 15.84 hektar taman herba 

TIPS MEMANCING TEMOLEHGunakan set joran aksi sederhana • Kekili siri 4000 dan ke atas • Sawit peram (tujuh hari ke atas) • Tali kekuatan 30 lbs ke atas • Panjang tali 300 meter ke atas • 30 minit aksi pertarungan • Perlu dilepaskan segera. 
 
Peluang  pemancing yang mengambil bahagian dalam pertandingan Boat on The Road (BOTR) 2012 menaikkan ikan sasaran di Tasik Kenyir, Terengganu pada 21 April ini agak tinggi berikutan paras air di tasik berkenaan mulai stabil.



Masran bersama kaloi yang banyak terdapat di Tasik Kenyir.
Fakta itu dinyatakan seorang kaki pancing tegar di tasik berkenaan, iaitu Masran Mohamat, 32, yang berjaya menaikkan temoleh dan pelbagai spesies lain sejak beberapa bulan lalu.

“Pemilihan tarikh BOTR amat sesuai dan saya bersama rakan lain juga kerap menaikkan pelbagai ikan di tasik itu di lubuk tertentu menggunakan umpan pilihan sesuai," katanya.

Masran yang juga Pengurus Restoran di Kenyir Lake Resort & Spa mengakui pemancing di tasik berkenaan pada tarikh berkenaan amat tepat kerana paras air mulai menurun satu meter berbanding Disember lalu.

Bagaimanapun, ikan sasaran pemancing mungkin berbeza selera mengikut lubuk yang dipancing memandangkan populasi ikan di tasik berkenaan amat banyak dan hidup di persekitaran seluas lebih 38,000 hektar.

Tasik Kenyir adalah tasik buatan manusia terbesar di dunia dihuni lebih 300 spesies ikan air tawar antaranya membabitkan ikan sebarau, kelah, kaloi, siakap air tawar, baung, terbul, patin, beliada, lampam sungai, toman, kawang dan kelisa.

Lubuk pancing tumpuan peserta BOTR adalah sekitar Sungai xxxxx hingga Sungai xxxxx iaitu kira-kira tiga jam perjalanan menggunakan Boat House dengan purata kelajuan 10 knot sejam.

Konvoi peserta BOTR edisi ketiga kali ini akan berlepas dari Sri Pentas TV3 pada pagi 20 April ini jam 8 pagi menuju ke Tasik Kenyir membabitkan dua perhentian utama iaitu di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Temerloh dan terakhir di Bandar Al-Muktafibillah Shah (Bukit Besi) untuk jamuan makan tengahari dan solat Jumaat sebelum menuju ke Pengkalan Gawi, di tasik berkenaan.

Sebanyak 10 bot ditempah untuk pertandingan kali ini membabitkan pemancing kategori mengilat (casting) iaitu menggunakan bot kecil (milik sendiri atau disewa) dan pancing dasar (bottom) iaitu memancing sambil santai dari rumah boat.

Masran berkata, memancing ikan di tasik berkenaan boleh dilakukan sepanjang masa namun waktu paling sesuai menjinakkan mangsa adalah pada awal pagi dan lewat petang kerana faktor selera dan pemburuan ikan.

“Dari pengalaman saya selama memancing di situ, majoriti ikan galak menyambar umpan adalah ketika awal pagi dan lewat petang," katanya.

 Katanya, bagi memudahkan pemancing mengenal pasti kehadiran ikan temoleh, beberapa petanda mudah boleh dijadikan panduan.

Sebagai contoh, katanya, jika pemancing ingin memburu temoleh, seseorang pemancing harus menunggu kelibat kawanan ikan kaloi memburu makanan.

“Temoleh lazimnya bergerak seiringan dengan kawanan kaloi yang memburu makanan, jika terserempak dengan ikan berkenaan, maka siapkan perkakas memancing sesuai kerana temoleh di tasik berkenaan berskala 7 hingga 15 kilogram seekor dan jika cuai, ia boleh melarikan diri hingga habis tali dari kekili dengan cepat," katanya.

Beliau berkata, kehadiran temoleh lebih mudah diketahui kerana ia lazimnya ia akan kerap menghambur sambil melibaskan ekornya ke permukaan sama ada untuk pernafasan atau memburu makanan.

Berita Harian

1 comment:

  1. Hello, Saya Puan Sandra Ovia, wang pemberi pinjaman swasta, adakah anda dalam hutang? Anda memerlukan rangsangan kewangan? pinjaman untuk merancang untuk tahun baru, untuk memenuhi sehingga bil anda, mengembangkan perniagaan anda pada tahun ini dan juga untuk pengubahsuaian rumah anda. Saya memberi pinjaman kepada syarikat-syarikat tempatan, antarabangsa dan juga pada kadar faedah yang sangat rendah sebanyak 2%. Anda boleh menghubungi kami melalui E-mel: (sandraovialoanfirm@gmail.com)
    Anda dipersilakan untuk syarikat pinjaman kami dan kami akan memberikan anda perkhidmatan yang terbaik kami.

    ReplyDelete