Saturday, April 14, 2012

Masjid Ulul Albab Adakan Kelas Bahasa Inggeris Percuma

Masjid Ulul Albab, Seberang Jerteh, di sini mengadakan kelas bahasa Inggeris secara percuma kepada pelajar sebagai usaha menjadikannya sebagai masjid pusat komuniti di Besut.

Pengerusinya, Ayob Jusoh berkata, kelas bahasa Inggeris yang memberi tumpuan kepada kemahiran pertuturan bahasa Inggeris itu telah disertai 50 pelajar dengan seorang pengajar sukarela, Datin Seri Che Kamariah Zakaria yang juga isteri kepada Pengerusi Mara, Datuk Seri Idris Jusoh.


"Masjid Ulul Albab yang baru dirasmikan oleh Sultan Mizan Zainal Abidin bulan lepas itu kini menjadi masjid pertama mengadakan kelas bahasa Inggeris secara percuma kepada pelajar di Terengganu,” katanya di Jerteh semalam.

Beliau berkata, ia terbuka kepada semua peringkat pelajar yang ingin mengasah kemahiran berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dan kelas yang dimulakan semalam itu menarik pelajar bukan sahaja dari kawasan Seberang Jerteh malah kawasan sekitarnya.

Kelas bahasa Inggeris itu merupakan satu permulaan sebelum kelas mata pelajaran lain dimulakan tidak berapa lama lagi sekiranya sambutan berterusan diterima daripada masyarakat, katanya.

1 comment:

  1. Salam, boleh details kan masa dan hari pembelajaran berlaku, adakah sesuai untuk orang yang bekerjaya/ lepasan universiti untuk joint?

    ReplyDelete