Friday, April 6, 2012

BOTR Kembali Lagi - Hadiah RM20,000 Untuk Tangkapan Ikan Naga

Ahmad Said dengan peserta BOTR tahun lalu....
Kerajaan negeri sekali lagi akan menganjurkan pertandingan Boat On The Road (BOTR) dalam usaha mempromosi Tasik Kenyir secara besar-besaran.

Menteri Besar, Datuk Seri Haji Ahmad Said berkata, program kali ketiga ini berlangsung selama tiga hari bermula 20 hingga 22 April depan di Tasik Kenyir dengan menawarkan hadiah yang cukup lumayan.


Pertandingan anjuran bersama kerajaan negeri dan Media Prima Berhad membabitkan TV3, TV8, TV9 dan Berita Harian, menarik kaki pancing seluruh negara dan peserta dari Indonesia dan Singapura dijangka turut serta.

BOTR 2012 ini diadakan lebih besar berbanding sebelum ini dengan penyertaan lebih 400 kaki pancing. Mereka yang menaiki kenderaan 4X4 akan berlepas daripada tiga penjuru iaitu Sri Pentas, Damansara, Selangor; Lenggong, Perak dan Kemaman, Terengganu sebelum menuju ke lokasi pertandingan iaitu di Tasik Kenyir.

“Seperti tahun lalu, kita mengulangi tawaran hadiah wang tunai RM20,000 kepada pemancing yang berjaya menaikkan ikan naga (Arapaima Gigas) yang dipercayai mendiami tasik berkenaan,” katanya.

Katanya, tahun lalu kerajaan menawarkan hadiah RM10,000 kepada peserta jika berjaya membawa naik ikan berkenaan tetapi gagal dilunaskan oleh 200 pemancing yang menyertai pertandingan.

“Tahun ini, hadiah ditambah sekali ganda di samping sembilan jenis ikan lain yang ditetapkan pihak penganjur iaitu sebarau, siakap, kelah, kaloi, temoleh, baung, toman, belida dan patin,” katanya.

Selain memancing, turut diadakan beberapa acara sampingan termasuk sukan air dan demontrasi perlumbaan bot F1 yang diketuai seorang bekas pelumba wanita F1 dunia, Kay Marshall.

Orang ramai yang berminat dipelawa menyertai pertandingan di samping berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah seperti motosikal, barangan elektrik dan banyak lagi yang disediakan pihak penganjur.

No comments:

Post a Comment