Thursday, April 26, 2012

Candat Sotong - Acara Naikkan Imej Terengganu

Usaha kerajaan negeri memperkenalkan pelbagai tarikan di Terengganu diteruskan menerusi penganjuran Karnival Candat Sotong Harian Metro (KCSHM) 2012 di Dataran Shahbandar, di Kuala Terengganu, pada 4 hingga 6 Mei depan.

Bukan hadiah RM28,000 menjadi tarikan, tetapi keseronokan mencandat di tengah laut dan bersantai sambil diterangi cahaya lampu turut menjadi penarik kepada peserta.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Datuk Adzlan Mohd Dagang berkata, usaha Harian Metro (HM) wajar dicontohi badan kerajaan dan swasta dalam usaha menaikkan imej Terengganu sebagai destinasi pelancongan di mata dunia.

Menurutnya, pihaknya sentiasa memberi sokongan penuh dalam menjayakan aktiviti candat dan akan menyalurkan segala bantuan diperlukan bagi memeriahkan karnival itu. “Kita harap pendekatan HM mempopularkan aktiviti candat di negeri ini berjalan lancar serta mendapat sambutan daripada peminat dalam dan luar negeri.

“Aktiviti mencandat hanya boleh didapati di negeri ini dan kita amat berbangga jika ia diteruskan sebagai aktiviti tahunan,” katanya ketika dihubungi di Kuala Terengganu semalam.

Sementara itu, pembantu penyelia Agensi Pembangunan Masyarakat, Norzashiela Ishak berkata, dia menyambut baik penganjuran KCSHM kerana selain mengekalkan tradisi, ia juga dapat mendatangkan pulangan kepada peniaga di negeri ini.

“Dengan kehadiran pelancong dalam dan luar negara, tempiasnya turut dirasai peniaga memandangkan Terengganu kaya dengan pelbagai tradisi yang boleh ditonjolkan kepada pelancong tidak kira daripada segi makanan dan juga perusahaan.

“Selain itu penganjuran KCSHM juga dapat mempopularkan Terengganu dan membantu meningkatkan pendapatan nelayan apabila bot mereka disewa penganjur,” katanya. Ramlee Jusoh, 54, berkata, dia bercadang membawa anaknya berkunjung ke KCSHM dan menyertai aktiviti disediakan penganjur di tapak karnival.

“KCSHM merupakan satu wadah bagi merapatkan hubungan kekeluargaan dan sesuai untuk semua lapisan masyarakat,” katanya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan keterangan lanjut mengenai KCSHM dan Kayuhan Santai Metro Cycling Club boleh menghubungi Sham atau Rahmat di talian 03-20569660 dan 013-3307745 atau Noor Azam 019-2931928.

No comments:

Post a Comment