Thursday, April 26, 2012

DUN Terengganu Cadang Zaitun Mat Amin Dilantik Anggota Dewan Negara

Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu pada Rabu meluluskan usul supaya Ketua Wanita Umno Bahagian Marang, Toh Puan Zaitun Mat Amin dilantik sebagai anggota Dewan Negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, Ahmad Razif Abd Rahman ketika membentangkan usul itu berkata Zaitun mempunyai kredibiliti, berilmu pengetahuan, kompetensi dan pengalaman luas untuk menjadi anggota Dewan Negara.


Usul itu dipersetujui majoriti Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada hari terakhir persidangan DUN Terengganu kali ke-12 di Kuala Terengganu, semalam.

Zaitun akan menggantikan Senator Zainun Abu Bakar yang telah tamat tempoh perkhidmatannya.

Beliau bergiat aktif dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan selain turut menjawat jawatan Bendahari Pergerakan Wanita Umno Terengganu dan pernah dinobatkan sebagai tokoh Belia Wanita 2005.

Jawatan lain yang disandangnya ialah sebagai Presiden Persatuan Usahawan Wanita Bumiputera Malaysia (Wawasanita), pengerusi Isteri Wakil-Wakil Rakyat Barisan Nasional Se-Malaysia (Serikandi) serta pengerusi Skuad Sayang Wanita Umno Terengganu.

No comments:

Post a Comment