Tuesday, April 17, 2012

Kakitangan Anak Syarikat, GLC Jangan Sabotaj Kerajaan

Kakitangan anak syarikat milik kerajaan negeri dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) diminta supaya tidak melakukan sebarang kegiatan yang boleh menjejaskan kerajaan, terutama menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13).

Menteri Besar, Datuk Seri Haji Ahmad Said, mengingatkan kakitangan berkenaan bahawa mereka perlu memberi sokongan dan taat setia kepada kerajaan semasa (Goverment of The Day) serta tidak melakukan sebarang penyelewengan yang boleh menjejaskan kedudukan syarikat masing-masing.


“Saya tahu ada kakitangan anak-anak syarikat kerajaan dan GLC yang menyokong parti pembangkang pada setiap kali pilihan raya,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Percetakan Yayasan Islam Terengganu dan Penyerahan Cek Sumbangan Kepada Tabung Darul Iman di Riyaz Heritage, malam semalam.

Hadir sama Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Haji Abdul Razak Ismail; Pengerusi Percetakan Yayasan Islam Terengganu,Rosli Zakaria dan Pengarah Urusan syarikat berkenaan, Zainal Abidin Mohamad.

Menteri Besar berkata, kakitangan syarikat milik kerajaan negeri dan GLC sepatutnya bersyukur dan menghargai jasa-jasa pemimpin Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sentiasa memberi bantuan bagi memajukan syarikat mereka.

“Kadang-kadang syarikat berkenaan mengalami kerugian, kerajaan negeri tambah dana supaya pekerja tidak diberhentikan dan syarikat boleh meneruskan operasi,” katanya.

Beliau memberikan contoh Percetakan Yayasan Islam Terengganu yang mula beroperasi sejak 1985 mengalami kerugian pada setiap tahun, sebelum mula mencatatkan keuntungan pada tahun 2008.

Mengikut rekod, syarikat itu mengalami kerugian terkumpul sebanyak RM1.7 juta dari tahun 1985 sehingga tahun 2007.

Bagaimanapun, mulai 2008 syarikat itu mula membuat keuntungan dan dalam tempoh tiga tahun (2009 hingga 2011) ia mencatkan keuntungan terkumpul RM5.526 juta.

Ahmad Said berkata, dengan usaha gigih pihak pengurusan memajukan syarikat dan komitmen kerajaan negeri membantunya, syarikat itu kini mula mengaut keuntungan dan mampu menyediakan kemudahan lebih baik kepada pekerjanya.

“Saya mahu pekerja syarikat ini serta syarikat GLC yang lain meningkatkan prestasi kerja bagi membantu menambah keuntungan syarikat masing-masing,” katanya.

Pada masa yang sama, katanya, mereka perlu menghindarkan diri daripada kegiatan yang boleh menjejaskan kedudukan kerajaan, sebaliknya terus memberi sokongan kepada kerajaan semasa.

“Bagi pihak kerajaan, kita akan menyediakan segala keperluan bagi memastikan semua rakyat negeri ini, termasuk kakitangan GLC mendapat khidmat terbaik daripada kerajaan,” katanya.

No comments:

Post a Comment