Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam berkata agenda pendidikan negara tidak boleh dilaksanakan secara bersendirian oleh kerajaan sebaliknya melibatkan pelbagai pihak berkepentingan bagi memastikan ia mencapai taraf dan kualiti tinggi setanding negara maju.
Timbalan Perdana Menteri berkata bagi mencapai kejayaan itu, kekuatan kerjasama dalam dan luar sekolah khususnya hubungan yang erat antara sekolah dengan Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) perlu sentiasa dipertingkatkan.
"Memandangkan pendidikan hari ini berdepan dengan cabaran globalisasi, fenomena sosial yang sangat mencabar serta aspirasi yang perlu dicapai, maka usaha bersepadu harus dilakukan demi perubahan dari segi pemikiran dan pendekatan, sejajar dengan kehendak dan perubahan pendidikan," katanya.
Muhyiddin berkata demikian ketika berucap pada majlis anugerah cemerlang PIBG kebangsaan 2011 yang julung kali diadakan bertemakan "PIBG Pemangkin Gagasan 1Malaysia", di Bangi.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Ir Dr Wee Ka Siong, Ketua Setiausaha Datuk Dr Rosli Mohamed dan Ketua Pengarah Datuk Seri Abd Ghafar Mahmud.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata penglibatan ibu bapa secara berterusan amat diperlukan bagi membolehkan perkembangan semasa persekolahan anak-anak dapat diikuti sekaligus membantu pengurusan sekolah merencanakan pembangunan aktiviti sekolah secara bersepadu.
Katanya masih ada lagi ruang yang perlu diisi untuk memantapkannya lagi dengan memastikan keperluan persekolahan anak-anak dipenuhi.
"Justeru PIBG diharap dapat membantu terutamanya dalam menyediakan program-program pembangunan sahsiah murid yang lebih komprehensif atau pembangunan peningkatan prestasi yang lebih tersusun selain daripada pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah,' katanya.
Memandangkan sistem pendidikan negara kini mempunyai fungsi sosial dan ekonomi yang jauh lebih mencabar daripada dahulu, Muhyiddin berkata pihak yang terlibat dalam sektor itu perlu memastikan potensi generasi muda secara menyeluruh dan sempurna agar mereka dapat bersaing dalam persekitaran global yang semakin kompetitif.
Justeru, katanya, soal-soal yang berkaitan dengan kualiti guru, kepimpinan sekolah, kurikulum dan pentaksiran, kemampuan murid menguasai pelbagai bahasa, peluang pasca-menengah bagi setiap murid, peranan ibu bapa dan masyarakat, pengggunaan sumber secara cekap dan berkesan serta kapasiti dan keupayaan sistem penyampaian pendidikan negara harus diberi perhatian serius.
"Jika semua aspek penting ini dapat kita mantapkan melalui satu proses transformasi pendidikan secara menyeluruh, saya pasti generasi muda kita pada masa kini mampu dipersiapkan untuk menerajui negara pada masa akan datang," katanya.
Tegasnya, pendidikan berkualiti dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaya dan miskin atau bandar dan luar bandar.
Menurutnya, sektor pendidikan merupakan elemen penting dalam menyediakan modal insan yang mampan bagi memastikan apa yang dihasratkan oleh kerajaan dapat direalisasikan.
"Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memastikan sistem pendidikan mampu melahirkan modal insan yang berkualiti, berkebolehan untuk menguasai dan mengaplikasi ilmu serta memiliki daya kreativiti dan inovasi yang tinggi," katanya.
Menyentuh mengenai anugerah PIBG, Muhyiddin berkata ia relevan dengan matlamat supaya ibu bapa dapat bersama-sama memainkan peranan dalam usaha membangunkan modal insan yang berjaya di dunia dan akhirat.
Pada majlis itu, PIBG Sekolah Menengah Agama Jaim Al-Ehya Al-Karim, Melaka yang diumumkan sebagai PIBG terbaik peringkat nasional 2011 menerima wang tunai RM50,000, piala pusingan Menteri Pelajaran dan sijil penghargaan daripada Muhyiddin.
No comments:
Post a Comment