Tuesday, April 10, 2012

Kekalahan Besar Dengan Selangor - Mat Zan Tetap Tenang

Miimpi yang diidamkan kesebelasan utama Terengganu ketika turun menentang Selangor pada aksi Liga Super kelmarin bertukar tragedi apabila skuad Penyu itu tumbang dengan kekalahan besar 1-6.

 Lebih perit lagi, kekalahan itu disaksikan sendiri bekas jurulatih mereka, Irfan Bakti yang kini megah membimbing gergasi Lembah Klang itu.


Tanpa mahu memberi alasan, pengendali Terengganu, Mat Zan Mat Aris secara terbuka menerima kekalahan itu dengan tenang, sambil menyifatkan pemain lawan beraksi lebih baik berbanding anak-anak buahnya.

Namun, keterbukaan itu tidak bermakna Mat Zan telah mengaku kalah, sebaliknya beliau mengakui pasukannya telah mendapat pengajaran terbaik di sebalik kekalahan tersebut.

“Orang pasti mengatakan kekalahan ini berpunca daripada keletihan yang dialami para pemain tetapi saya tidak mahu bercerita tentang itu.

 “Saya akui kami gagal bermain dengan baik dan gagal bermain sebagai satu unit. Pemain terlalu mudah memberi ruang kepada pasukan lawan melakukan hantaran dan kesannya, kami mudah dibolosi, terutamanya pada babak pertama,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Justeru, Mat Zan mengingatkan kepada semua penyokong bahawa kekalahan itu bukanlah petanda kepada kejatuhan prestasi Terengganu tetapi lebih kepada kealpaan dan kegagalan pemain beraksi dengan baik.

“Saya tidak salahkan pemain kerana saya tahu mereka penat. Malah, saya harus tabik kepada semangat pemain-pemain saya kerana mereka tetap berusaha untuk memberi tentangan. “Sebagai jurulatih, saya juga tidak perlu panik dengan kekalahan besar ini kerana ini adalah adat dalam bola sepak.

 “Apa sahaja boleh berlaku dan jika kami gagal bermain dengan baik selepas ini, mungkin kekalahan lebih besar boleh kami alami,” tegasnya. Pada aksi di Stadium MBPJ kelmarin, Terengganu yang masih segar daripada kemenangan di pentas Piala AFC bermula baik apabila mendahului satu gol menerusi jaringan Ismail Faruqi.

Bagaimanapun, kesilapan benteng pertahanan Terengganu telah memberi ruang kepada Basko Balaban menyamakan kedudukan, diikuti lima lagi jaringan mudah daripada pemain tuan rumah.

 “Kami perlu segera melupakan kekalahan ini dan mengambil pengajaran yang ada. “Perjalanan masih lagi jauh dan banyak lagi perlawanan penting yang akan kami hadapi selepas ini.

 “Saya cuma berharap agar semangat para pemain tidak luntur, sebaliknya saya mahu mereka segera bangkit untuk mencari sesuatu yang positif selepas ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment